MISI 'Tebus Kekecewaan' Hakim Danish, Danial Syahmi Di Aragon

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/5/20231 min read

SELEPAS kempen Red Bull Rookies Cup 2023 melabuhkan tirainya, fokus dua pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli dan Danial Syahmi Shahril kini memberi tumpuan penuh baki perlumbaan di ETC dan JrGP.

Kedua-dua perlumbaan kejuaraan peringkat umur Eropah itu kembali lagi minggu ini bagi pusingan ke-6 yang dijadual berlangsung di Litar Motorland Aragon, Sepanyol.

Pada pusingan sebelum ini di Catalunya, Barcelona, Hakim dan Danial ditimpa kekecewaan apabila gagal menamatkan perlumbaan dalam pungutan mata.

Justeru, ada misi yang ingin dilaksanakan mereka di Aragon.

"Saya ingin melakukan perlumbaan yang lebih baik berbanding di Catalunya pada Julai lalu," kata Hakim yang ketika ini menghuni tangga ke-17 ETC (European Talent Cup) 2023 selepas mengumpul 24 mata.

"Saya sudah mempersiapkan diri saya dengan pelbagai latihan dan saya akan cuba lakukan yang terbaik dari seawal sesi latihan. Saya akan berikan yang terbaik dan jangan lupa doakan saya, juga Danial minggu ini.”

Sementara itu, Danial turut mengakui teruja kembali ke saingan JuniorGP.

"Saya yakin sesi latihan dari segi fizikal dan mental dapat membantu saya mempamerkan aksi yang terbaik minggu ini di Aragon," kata Danial yang beraksi bersama pasukan Asia Talent Team.

"Saya tidak berjaya menamatkan perlumbaan di pusingan-5 Catalunya dalam perlumbaan 2, namun misi saya untuk perlumbaan minggu ini tetap sama, saya akan berikan yang terbaik dan cuba untuk menamatkan perlumbaan di kedudukan yang terbaik."