MKA Group Kini Pengedar Rasmi Ipone Di Malaysia
Seiring pertumbuhan pasaran motosikal di Malaysia, MKA Group percaya kerjasama dengan jenama global seperti Ipone akan membantu menaikkan standard industri, dari penunggang harian hingga pelumba profesional
TERKINI
11/28/20251 min read


MKA Group, syarikat induk kepada beberapa jenama seperti Racing Boy (RCB), Uma Racing dan banyak lagi terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri dua roda negara apabila secara rasmi dilantik sebagai pengedar produk pelincir motosikal jenama Ipone di Malaysia.
Pelantikan itu sekali gus menandakan pencapaian penting bagi syarikat tempatan yang sudah lebih tiga dekad bertapak dalam sektor automotif itu.
Pengarah MKA Group, Doc Dol, menyifatkan kerjasama dengan Ipone sebagai detik bersejarah yang membuka lembaran baharu buat syarikat.
"Hari ini bukan sekadar menandatangani perjanjian pengedar, tetapi komitmen jangka panjang untuk mengembangkan jenama Ipone di Malaysia, memperkukuh sokongan kepada pengedar serta memastikan kualiti bertaraf dunia sampai kepada penunggang di seluruh negara,” katanya.
Sebagai info, Ipone adalah jenama asal Perancis di bawah naungan Motul, jenama yang terkenal dengan pelincir dan produk penjagaan motosikal premium.
Motul Malaysia melalui pengurus besarnya, Ravi Shankar, berkata pelantikan MKA Group memberi keyakinan bahawa penunggang tempatan kini akan lebih mudah mendapatkan produk Ipone yang sudah terbukti selama 40 tahun.
MKA Group dalam kenyataan menegaskan kerjasama ini bukan sekadar perniagaan, tetapi usaha memperkukuh ekosistem motosikal negara.
Dengan akses lebih luas kepada produk premium, syarikat itu komited menyokong bengkel, pengedar dan penunggang dalam meningkatkan prestasi serta pengalaman tunggangan.
Dan seiring pertumbuhan pasaran motosikal di Malaysia, MKA Group percaya kerjasama dengan jenama global seperti Ipone akan membantu menaikkan standard industri, dari penunggang harian hingga pelumba profesional.

