MORBIDELLI Moto Umum Kembali Ke Kancah Grand Prix, Mula Dengan Moto2, Moto3!
Pernah 'menggegar' kancah perlumbaan GP dunia, jenama motosikal asal Itali, Morbidelli mengumumkan untuk kembali mewarnai kancah berkenaan dengan penyertaan semula syarikat itu bakal dimulakan dalam saingan Moto2 dan Moto3
TERKINI
10/13/20251 min read


SELEPAS lebih empat dekad menyepi, jenama motosikal asal Itali, Morbidelli mengumumkan untuk kembali mewarnai kancah perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) dengan penyertaan semula syarikat itu bakal dimulakan dalam saingan Moto2 dan Moto3.
Kepada yang mengikuti kancah perlumbaan GP, Morbidelli semenangnya memiliki sejarah yang panjang dalam arena perlumbaan dunia termasuk di MotoGP yang dulu dikenali sebagai Grand Prix (GP).
Diasaskan oleh Giancarlo Morbidelli di Pesaro, Itali, Morbidelli menariknya pernah menjadi kuasa besar dalam perlumbaan Grand Prix (GP) pada era 1970-an.
Sepanjang penyertaan, mereka pernah meraih kejuaraan dunia kelas 125 cc sebanyak tiga kali berturut-turut (1975–1977) dan menjuarai kelas 250cc pada tahun 1977.
Selain itu, jenama Morbidelli juga sinonim dengan Graziano Rossi yang juga bapa kepada ikon MotoGP Itali, Valentino Rossi.
Kini bernaung di bawah salah satu gergasi automotif China, Keeway Group, jenama yang menghentikan program perlumbaan mereka pada 1982 itu mahu kembali 'beraksi'.
Pengumuman bersejarah itu dibuat semasa acara Morbidelli Day 2025 yang berlangsung di China baru-baru.
Sebagai permulaan, Morbidelli akan menjalinkan kerjasama sebagai penaja rasmi pasukan perlumbaan, langkah yang turut dibuat beberapa lagi pengeluar China seperti CFMoto dan QJ Motor.
Apa yang menarik, majlis itu turut disertai Ketua Pegawai Operasi MForce Bike Holdings, Asri Ahmad, yang mewakili Malaysia berikutan hak pengedaran jenama itu di pasaran tempatan adalah menerusi MForce Bike.
Selain di pentas dunia, Morbidelli turut merancang untuk membangunkan program perlumbaan sendiri serta menyokong rakan pengedar di seluruh dunia termasuk Malaysia.
Seperti diketahui, MForce Bike sudah pun menunjukkan komitmen dalam dunia perlumbaan menerusi jenama Voge, yang aktif dalam perlumbaan Cub Prix, Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC).


