MODA Shifter 400X (2025) Rasmi Di Malaysia, Asas RM 23,888!

Satu lagi model skuter menarik dirasmikan untuk pasaran tempatan menerusi MODA Shifter 400X (2025) yang diposisikan syarikat pengedar eksklusifnya sebagai skuter pengembaraan lasak

PELANCARAN

7/26/20251 min read

MODA Shifter 400X (2025)
MODA Shifter 400X (2025)

MODA Motor Malaysia memastikan persaingan dalam segmen skuter di pasaran tempatan terus rancak apabila melancarkan penawaran terbaharunya, MODA Shifter 400X (2025), model yang diposisi dalam segmen pengembaraan lasak, pada hari ini.

Dan menariknya, MODA Shifter 400X (2025) adalah model kedua jenama itu di pasaran tempatan dan menurut pengedar eksklusifnya, MDua Motor Sdn. Bhd., ia adalah model yang direka khusus untuk dinikmati oleh semua lapisan pengguna.

Begitupun, pelancarannya tidak begitu mengejutkan kerana MODA Shifter 400X sebenarnya sudah pun ditayangkan di beberapa acara automotif oleh pengedar eksklusifnya sebelum ini termasuk di Malaysia Autoshow 2025.

Menurut MODA Motor Malaysia, MODA Shifter 400X turut dilengkapi dengan beberapa teknologi yang mampu meningkatkan lagi pengalaman menunggang antaranya empat lampu utama LED jenis ‘lenticel’ yang menampilkan sistem AFS (Adaptive Front-lighting System) untuk pencahayaan lebih cerah dan dinamik dalam keadaan gelap dan ketika mengambil selekoh.

Dan sekali pun dilengkapi dengan ciri-ciri canggih, skuter ini mengekalkan keseluruhan berat bersih dengan hanya 208 kg yang sekali gus menjadikannya antara skuter serba lincah dan responsif di pelbagai permukaan jalan.

Tampil dengan rekaan yang agresif, MODA Shifter 400X (2025) turut dipadankan dengan pelbagai ciri-ciri menarik antaranya:

  • Sistem AFS (Adaptive Front-lighting System)

  • Sistem kunci pintar

  • Panel meter TFT 7-inci berwarna penuh dengan ciri sambungan ke telefon pintar

  • Sistem pemantau tekanan tayar (TPMS)

  • Sistem kamera dwi-lensa hadapan dan belakang dengan ciri rakaman dan boleh dimuat turun melalui aplikasi mudah alih khas

  • Visor angin boleh laras manual (2 tetapan)

  • ESS (Emergency Stop Signal)

  • Dua port pengecasan - USB 12V standard dan soket 12V.

Ulas ringkas spesifikasi trenkuasa, MODA Shifter 400X dipadankan dengan enjin 333 cc, 1 Silinder, 4 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, SOHC dengan transmisi automatik CVT.

Kuasa 26.8 Hp @ 7,500 rpm dengan Tork 33.5 Nm @ 5,500 rpm.

Sistem suspensi menggunakan fork telekopik konvensional (depan) dan penyerap hentakan berkembar (belakang).

Brek pula dijana cakera tunggal (depan dan belakang) lengkap bersama Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran dan turut memiliki Sistem Kawalan Cengkaman (TCS).

Info lain adalah seperti berikut:

  • Set roda 120/70-14 (depan), 150/70-13 (belakang)

  • Jarak lega bumi 165 mm

  • Tinggi pelana 775 mm

  • Tangki bahan api 13 liter

  • Berat 208 Kg

Maklumat lanjut boleh kunjungi mana-mana pengedar sah MODA seluruh negara.