MODA Sporter S SKII (2026) Dilancarkan, RM 17,998!
Sambutan pasaran yang menggalakkan mendorong MODA Motorcycle untuk terus menambah baik Moda Sporter S dengan pembangunan MODA Sporter S SKII dikatakan mengambil kira maklum balas daripada pemilik, pengguna dan komuniti penunggang tempatan
PELANCARAN
8/18/20261 min read


MODA Motorcycle Malaysia, hari ini melancarkan versi terkini skuter bergaya 'Sporty' popularnya, MODA Sporter S SKII (2026) yang diberi beberapa penambahbaikan mengujakan bersama penawaran harga menarik, RM 17,998.
Seperti biasa, angka yang diumumkan adalah asas, tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran.
Tiada perubahan dari sudut rekaan mahu pun trenkuasa dengan MODA Sporter S SKII (2026) ditawarkan dalam dua pilihan warna - Porsch White dan Titan Blue. Ia kemudian dipadankan dengan grafik baharu untuk penampilan yang katanya lebih segar dan menyerlah.
Sebagai info, MODA melancarkan Moda Sporter S pada Januari 2025 dan sejak itu, menjadi model jualan skuter terbaik dalam rangkaian produk MODA.
Dan sambutan pasaran yang menggalakkan mendorong syarikat itu untuk terus menambah baik model ini dengan pembangunan MODA Sporter S SKII dikatakan mengambil kira maklum balas daripada pemilik, pengguna dan komuniti penunggang tempatan.
Selain pilihan warna dan corak grafik baharu, perubahan lain yang boleh disifatkan mengujakan adalah penggunaan panel meter dengan ciri skrin sentuh TFT 7 inci yang lebih besar dan jelas.
Turut baharu adalah suis pada hendal yang dikatakan lebih memudahkan penunggang untuk mengawal fungsi utama skuter.
Tidak mahu kalah dengan skuter lain di pasaran, turut hadir secara standard adalah kamera pemuka HD (depan) dan visor angin yang kini boleh laras secara elektrik.
Selain itu, rekaan lampu isyarat juga baharu dengan lampu nyataan siang (DRL) juga baharu dan katanya lebih cerah.
Menambah lagi darjah 'kekacakan' skuter ini adalah penggunaan 'Winglet' yang tampil dengan kemasan ala karbon.
Pembaharuan lain adalah seperti penggunaan cermin sisi baharu daripada aloi yang tampak lebih premium manakala untuk pengalaman menunggang, suspensi belakang juga dikatakan dipertingkatkan.
Ulas trenkuasa, MODA Sporter S SKII (2026) dijana enjin bersesaran 244 cc, 1 Silinder, 4 Injap, Suntikan Bahan Api, Penyejuk Cecair, SOHC yang digandingkan dengan transmisi automatik CVT.
Kuasa yang dihasilkan trenkuasa patuh piawaian emisi Euro4 ini adalah 24.8 Hp @ 8,500 rpm dan tork 22.5 Nm pada 6,500 rpm.
Menurut Moda Motorcycle Malaysia, Moda Sporter S SKII sudah pun boleh didapati di semua pengedar MODA yang sah di seluruh negara.




