MODENAS Brusky 125 'Made in Gurun' Rasmi Di Indonesia!
Strategi pemasaran dan penjenamaan seperti Modenas Brusky 125 bukanlah sesuatu yang asing dengan pendekatan yang sama turut digunakan oleh Modenas dan Kawasaki ketika skuter itu diperkenalkan untuk pasaran Filipina sebelum ini
TERKINI
6/16/20261 min read


SYARIKAT pengeluar motosikal nasional, Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) melakar sejarah tersendiri apabila secara rasminya kembali menembusi pasaran Indonesia menerusi pelancaran skuter kompak terbaharunya, Modenas Brusky 125.
Apa yang menarik, menurut maklumat, model yang dikenali sebagai Modenas Karisma di pasaran Malaysia bukanlah dipasang di republik itu, sebaliknya ia adalah model import sepenuhnya (CBU) yang dibawa masuk terus dari kilang pemasangan Modenas di Gurun, Kedah.
Seperti diketahui, Modenas mempunyai kerjasama strategik dengan pihak Kawasaki.
Justeru, strategi pemasaran dan penjenamaan seperti ini bukanlah sesuatu yang asing dengan pendekatan yang sama turut digunakan oleh Modenas dan Kawasaki ketika skuter itu diperkenalkan untuk pasaran Filipina sebelum ini.
Justeru, logo Kawasaki turut dipamerkan pada bahagian badan skuter berkenaan.
Di Malaysia, model-model di bawah 650 cc Kawasaki hadir ke pasaran menggunakan lambang Modenas.
Selepas Modenas Brusky 125, persoalan yang kini rancak bermain di minda adakah model-model berprestasi lain yang bakal diperkenalkan kelak seperti Modenas Z15GT akan turut mengikut jejak langkah agresif yang sama? Sama-sama kita nantikan.

