MODENAS Buat Majlis Tertutup Tayang Skuter Baharu, Tak Guna Lencana Modenas?

TULAR

10/4/20231 min read

MODENAS pada Isnin lalu membuat tayangan 'perdana' penawaran terbaharunya dalam segmen skuter maxi yang dijadual menerjah pasaran tempatan berkemungkinan awal tahun depan iaitu AK550.

Begitupun, program berkenaan tidak dibuat secara terbuka namun tertutup membabitkan ahli kumpulan Modenas Elegan 250 (ME250) di kilang pemasangan Modenas di Gurun, Kedah.

Selain AK550, turut ditayangkan juga adalah model skuter bersesaran 250 cc terbaharu iaitu DTX250.

Berdasarkan info yang dikongsikan daripada laman kumpulan Facebook ME250 yang menyertai lawatan itu, kesemua mereka diberi penerangan dan melihat sendiri skuter kedua-dua skuter berkenaan yang masih menggunakan lencana jenama Taiwan, Kymco.

Dan antara maklumat menarik yang dikongsikan adalah tarikh pelancaran skuter berkenaan terutama AK550 iaitu pada awal tahun depan, berkemungkinan besar pada Januari.

Dan maklumat lain yang cukup penting lain - yang diperoleh daripada Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan adalah skuter berkenaan akan dijual sebagai model CBU (Complete Built Unit) dan bukannya unit pemasangan tempatan (CKD).

Menurut perkongsian itu lagi, AK550 akan dijual pada harga lebih rendah berbanding pencabar utamanya iaitu Yamaha TMax 560.

Sebagai info, Yamaha TMax 560 yang dikenali sebagai Yamaha TMax Tech Max di pasaran Malaysia dijual pada harga RM 74,998 (asas) ketika dilancarkan.

Seperti diketahui, Modenas menjalankan kerjasama dengan Kymco bagi memasarkan model skuter jenama itu di Malaysia dan Modenas Elegan 250 adalah antara model yang dijenamakan semula.

Begitupun menurut maklumat yang kami peroleh, berikutan ia tiba sebagai model CBU, AK550 tidak akan menggunakan lencana Modenas namun mengekalkan lencana Kymco.

Justeru sekalipun dijangka dijual pada harga lebih rendah berbanding Yamaha TMax Tech Max di pasaran Malaysia, perbezaannya dijangka tidak begitu ketara. Apapun, kita tunggu dan lihat.