MODENAS Elegan EX (2025) Versi 'Facelift' Diperkenalkan, Asas RM 17.8k!
TERKINI
4/11/20251 min read


MODENAS, hari ini mengumumkan kehadiran versi 'Facelift' untuk skuter maxi popularnya, Modenas Elegan EX (2025) yang tampil dengan beberapa perubahan termasuk pilihan warna baharu.
Ditawarkan pada harga asas RM 17,780, Modenas Elegan EX (2025) sudah pun berada di semua bilik pameran pengedar sah pengeluar nasional itu di seluruh negara.
Dua pilihan warna yang baharu dan dikatakan lebih premium adalah:
Deep Blue
Plain Grey
Sebagai model versi yang dipertingkatkan, Modenas Elegan EX (2025) diberikan beberapa pembaharuan dari segi penampilan dan fungsi yang menurut syarikat itu memberikan pengalaman tunggangan yang lebih eksklusif.
Antara yang dikemas kini adalah visor angin baharu serta lampu isyarat depan yang kini menggunakan LED.
Turut baharu adalah Modenas Elegan EX (2025) menggunakan logo baharu jenama itu yang dipadankan dengan beberapa komponen seperti skrin angin, penutup pemegang, fender belakang, meter kelajuan dan kunci.
Tiada perubahan dari sudut rekaan asas, Modenas Elegan EX (2025) kekal dengan enjin bersesaran 249 cc, 1 Silinder, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, SOHC bersama transmisi automatik CVT.
Kuasa yang dihasilkan adalah sebesar 22.4 Hp pada 7,000 rpm dan tork 22.4 Nm pada 6,500 rpm.
Sistem suspensi menggunakan fork teleskopik konvensional dan penyerap hentak berkembar (belakang).
Tugas membrek menggunakan cakera tunggal (depan dan belakang) lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran.
Sebagai skuter yang mampu untuk mengharungi perjalanan jarak jauh, Modenas Elegan EX (2025) turut dipadankan dengan tangki bahan api berkapasiti 14 liter.
Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan, berkata versi terbaharu Modenas Elegan EX yang tampil dengan beberapa penambahbaikkan akan memastikan pelanggan jenama itu terus menikmati pengalaman tunggangan yang premium.
Seperti biasa, setiap pembelian ditawarkan jaminan pengeluar selama 2 tahun atau jarak perbatuan 20,000 km (yang mana tiba dahulu).












