SKUTER Modenas Elit 150S Dikemaskini, ECU Ditala Semula, 3 Warna Baharu, RM 7,877!
Bagi memberi tunggangan yang lebih responsif di jalanan, Modenas mengemas kini program Unit Kawalan Enjin (ECU) Modenas Elit 150S bagi mengoptimumkan masa suntikan bahan api pada kelajuan tinggi
TERKINI
9/10/20261 min read


SYARIKAT Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) menyuntik tiga naik taraf komponen dan perisian baharu terhadap skuter urban popularnya, Modenas Elit 150S selain 3 pilihan warna baharu bagi versi 2026.
Bagi memberi tunggangan yang lebih responsif di jalanan, Modenas mengemas kini program Unit Kawalan Enjin (ECU) Modenas Elit 150S bagi mengoptimumkan masa suntikan bahan api pada kelajuan tinggi.
Kemas kini perisian itu juga menyaksikan had putaran enjin maksimum Modenas Elit 150S ditingkatkan bagi memberi 'nafas' yang lebih panjang buat penunggang.
Dari segi praktikaliti dan kekemasan, Modenas menampilkan rekaan spring penutup tangki bahan api baharu untuk kedudukan yang lebih baik, selain menyingkirkan soket terdedah yang tidak digunakan di bahagian hadapan model berkenaan.
Dan seiring dengan naik taraf mekanikal itu, Modenas Elit 150S (2026) turut didatangkan dengan 3 pilihan warna dan grafik moden yang memikat iaitu Amazon Green, Glorious Black dan Nardo Grey.
Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS, Roslan Roskan, berkata pengenalan model yang dipertingkat itu memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna sambil memastikan barisan produk syarikat kekal relevan di pasaran.
Tiada perubahan dari sudut trenkuasa dengan Modenas Elit 150S (2026) kekal dengan padanan enjin 149 cc, 1 Silinder, Penyejuk Cecair, Suntikhan Bahan Api, SOHC dengan transmisi Auto CVT.
Kuasa berada pada angka 14 Hp @ 8,250 rpm dan tork 13.5 Nm @ 6,750 rpm serta kekal tanpa Sistem Brek Anti-Kunci (ABS).
Modenas Elit 150S versi naik taraf ini sudah pun berada di semua pusat jualan sah Modenas bermula hari ini pada tanda harga asas RM 7,877.



