MODENAS Kriss 110 (2024) Dikemas Kini, Guna Logo Baharu, Fi, Harga Mula RM 4.6k!

TERKINI

8/27/20241 min read

MODENAS sempena majlis pengenalan logo baharunya, hari ini melancarkan model kemas kini kapcai 'marhaen' jenama itu, Modenas Modenas Kriss 110 (2024) yang dikatakan lebih 'mesra alam'.

Apa yang menarik, selain menjadi model sulung dipadankan dengan logo dan perkataan Modenas dengan 'font' baharu, ia adalah model pertama yang menggunakan nama Kriss berjaya memenuhi piawaian ketat emisi Euro4.

Selain itu, antara pembaharuan atau penambahbaikkan adalah ia kini menggunakan teknologi Suntikan Bahan Api (Fi) menggantikan sistem karburator bagi model terdahulu.

Seperti versi 2023, dua varian diperkenalkan Modenas Kriss 110 (2024) iaitu yang dipadankan dengan brek hadapan cakera (DB) dan dram.

Harga asas yang diumumkan adalah seperti berikut:

  • Modenas Kriss 110 (2024) Brek Depan Dram - RM 4,599

  • Modenas Kriss 110 (2024) Brek Depan Cakera - RM 4,998

Seperti biasa, harga yang diumumkan adalah asas, tidak termasuk cukai jalan, insuran dan yuran pendaftaran.

Dari sudut penampilan, tiada perubahan berlaku dari sudut rekaan namun daripada sudut jualan, berlaku peningkatan harga dengan model 2023 Modenas Kriss 110 dijual pada harga RM 3,917 (Brek Dram) dan RM 4,437 (Brek Cakera).

Mengulas ringkas spesifikasi trenkuasa kedua-dua varian Modenas Kriss 110 (2024), ia kekal dikuasakan dengan enjin bersesaran 108 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, SOHC dan digandingkan dengan transmisi 4 kelajuan.

Kuasa yang dihasilkan motosikal yang memperoleh penarafan EEV (Kenderaan Cekap Tenaga) itu adalah 6.57 Hp pada 8,000 Rpm dan tork 6.7 Nm pada 6,000 rpm.

Selain itu, ciri-ciri dan informasi lain juga kekal seperti kapasiti tangki bahan api 4.2 liter, storan bawah pelana 6.6 liter, panel meter analog, penghidup elektrik/penendang dan lampu kecemasan.