MODENAS Kriss 125 Fi (2025) Rasmi Masuk Pasaran Malaysia, RM 5.7k!
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
1/21/20251 min read


MODENAS akhirnya mengeluarkan kenyataan rasmi kepada media mengenai kehadiran kapcai terbaharunya di pasaran, Modenas Kriss 125 Fi (2025) yang dijual pada harga menarik, RM 5,620 (asas).
Dua pilihan warna ditawarkan iaitu Glacier Emerald Green dan Graphite Grey dengan harga yang diumumkan tidak termasuk cukai jalan, yuran pendaftaran dan insuran.
Dan menurut Modenas, motosikal ini sudah pun boleh didapati di semua cawangan pengedar Modenas seluruh negara.
Pengedar jenama Modenas, Emos menjelaskan yang Modenas Kriss 125 Fi (2025) ditayangkan secara rasmi ketika majlis makan malam syarikat itu bersama rangkaian pengedarnya.
Tampil dengan rekaan yang segar, pengenalan Modenas Kriss 125 Fi (2025) juga menjadi tanda aras penting buat Modenas kerana ia adalah kali pertama syarikat itu memasuki segmen baharu (125 cc) sepanjang 30 tahun penubuhannya.
Mengulas mengenai spesifikasi Modenas Kriss 125 Fi (2025), ia dijana enjin bersesaran 125 cc, 1 Silinder, 2 Injap, Penyejuk Udara, Suntikan Bahan Api, SOHC yang digandingkan dengan transmisi 4 kelajuan.
Kuasa yang dihasilkan adalah 8.4 Hp pada 8,000 rpm dan tork 8.5 Nm pada 6,000 rpm.
Informasi dan antara ciri-ciri menarik adalah seperti berikut:
Sistem lampu LED penuh (Termasuk DRL)
Lampu kecemasan
Panel meter analog (Indikator gear digital)
Port pengecas USB
Ruang simpanan bawah pelana 6.6 liter
Penghidup penendang kaki dan elektrik
Tangki bahan api 4.2 liter
Brek cakera (depan), dram (belakang)
Set roda 70/90-17 (depan), 80/90-17 (belakang)
Berat 98 kg
"Modenas Kriss 125 Fi (2025) lebih daripada model baharu yang mewakili keinginan Modenas untuk menawarkan penyelesaian mobiliti yang boleh dipercayai, berpatutan dan cekap yang sesuai dengan penunggang dan jalan raya di Malaysia," kata Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan.
"Memasuki segmen ini menjadi simbol kepada komitmen kami terhadap inovasi dan kepuasan pelanggan."
Modenas seperti biasa menawarkan jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000 km (yang mana tiba dahulu).








