MODENAS Lancar SuperMoped Sempena GP Malaysia 2025?

Pada tahun lalu, Modenas menjadikan acara sama - yang menarik tumpuan deretan media serta kehadiran ribuan peminat - untuk melancarkan model sportbike berprestasi tinggi, Kawasaki Ninja ZX-6R.

TERKINITULAR

8/20/20251 min read

 MODENAS
 MODENAS

SELEPAS sekian lama menanti, MODENAS dikatakan sudah mempunyai tarikh dan lokasi pelancaran 'Supermoped' pertama jenama nasional itu yang sekali gus menamatkan penantian dan spekulasi dalam kalangan peminat dunia automotif dua roda tanah air.

Seperti yang dilaporkan ramai rakan media sebelum ini, menurut sumber, model yang dinanti-nantikan itu memang dijadual akan berlangsung pada Oktober ini. Tetapi tarikh tepatnya dikatakan adalah ketika berlangsungnya Grand Prix MotoGP Malaysia 2025 di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS.

Pemilihan GP Malaysia yang berlangsung pada 24 hingga 26 Oktober depan sebagai pentas pelancaran bukanlah sesuatu yang asing bagi Modenas.

Pada tahun lalu, Modenas menjadikan acara sama - yang menarik tumpuan deretan media serta kehadiran ribuan peminat - untuk melancarkan model sportbike berprestasi tinggi, Kawasaki Ninja ZX-6R.

Selain daripada tarikh pelancaran, turut mengujakan adalah membabitkan rekaan motosikal berkenaan yang dikatakan 'sentuhan' daripada pereka Kawasaki sendiri.

Malah berdasarkan maklumat, ilham rekaannya dikatakan mendapat gabungan daripada beberapa model popular Kawasaki, dengan pengaruh utama diambil daripada reka bentuk agresif dan lasak jentera 'adventure-tourer', Kawasaki Versys 1000.

Justeru, ia memberi bayangan supermoped Modenas ini mungkin tampil dengan rekaan yang lebih berani dan unik berbanding pesaingnya di pasaran.

Seperti diketahui, projek supermoped Modenas ini bukanlah satu projek baharu dan sudah berada dalam fasa pembangunan sejak beberapa tahun lalu.

Setakat ini, beberapa siri ujian jalan raya juga dilaporkan giat dijalankan dengan beberapa kali kelibatnya berjaya dirakam oleh orang awam yang membuktika ia ini sedang menjalani fasa terakhir iaitu ujian ketahanan.

Mengenai nama, laporan daripada rakan media automotif sebelum ini mendedahkan bahawa Modenas berkemungkinan besar akan menggunakan nama Modenas GT150 untuk model ini serta menggunakan enjin bersesaran 150 cc.

Kepada yang bertanya mengapa 150 cc, pihak Modenas sebelum ini sudah pun membuat kajian dan mendapati ia adalah antara segmen paling kompetitif di pasaran kapcai tempatan dan sudah bertahan selama bertahun-tahun.

Justeru, tumpuan diberikan kepada aspek seperti reka bentuk, pengendalian, ciri-ciri moden, dan penawaran harga yang kompetitif untuk menyaingi model sedia ada.