MODENAS Ninja 250 ABS (2023) Diperkenalkan, Warna Baharu, Lebih 'Kawasaki', Harga RM 21.8k!

PELANCARAN

8/6/20231 min read

SELEPAS setahun pelancarannya, Modenas akhirnya mengemaskini penawaran bagi model 'Sportbike' popularnya, Modenas Ninja 250 ABS (2023) menerusi pengenalan warna dan corak grafik baharu yang nampak lebih 'Kawasaki'.

Pelancaran Modenas Ninja 250 ABS (2023) itu dibuat penuh meriah sempena acara 'Green Mania Kawasaki' yang berlangsung, hari ini.

Seperti dinyatakan lebih awal, pilihan skema warna baharu itu nampak lebih mirip 'Kawasaki' iaitu Lime Green/Ebony yang juga warna 'asli' Kawasaki dalam arena perlumbaan motosikal.

Seperti dijangka, tiada perubahan di bahagian trenkuasa. Justeru, motosikal ini kekal dengan enjin bersesaran 249 cc, 2 Silinder, 4 Lejang, 8 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC yang digandingkan dengan transmisi enam kelajuan lengkap dengan klac Assist & Slipper.

Kuasa yang dihamburkan juga serupa iaitu 37 Hp pada 12,500 rpm dengan tork puncak 23 Nm pada 10,000 rpm.

Sistem suspensi menggunakan fork teleskopik konvensional (depan) dan penyerap hentak tunggal (belakang) manakala sistem brek dipacu cakera tunggal bersaiz 286 mm depan dan 193 mm belakang lengkap dengan sistem ABS dua saluran.

Sebagai info, ketika dilancarkan tahun lalu, Modenas Ninja 250 ABS dijual pada harga asas RM 20,500 bersama pilihan warna Metallic Matte Graphite Grey.

Kepada yang berminat, Modenas Ninja 250 ABS (2023) boleh mula didapati di semua pengedar sah Modenas/Kawasaki Malaysia bermula bulan ini dengan harga jualan RM 21,800 (asas).

Selain pengenalan Modenas Ninja 250 ABS (2023), pihak Emos, hari ini turut mengumumkan kehadiran minyak pelincir empat lejang di pasaran dikenali Kawasaki Genuine Oil (KGO) yang memiliki tahap kelikatan 10W-50.