MODENAS Ninja 500, 500 SE (2025) Kini Di Malaysia, Harga Mula RM 28.1k!

PELANCARAN

3/14/20251 min read

MODENAS, tanpa angin mahupun ribut pada hari ini mengumumkan kehadiran dua penawaran terbaharunya untuk pasaran tempatan menerusi Modenas Ninja 500 dan Ninja 500 SE (2025).

Tiba dengan nama 'Ninja', Modenas Ninja 500 dan Ninja 500 SE adalah model dalam segmen 'Sportbike' dan dikatakan sesuai untuk penunggang baharu mahu pun berpengalaman.

Sekalipun dipadankan dengan enjin bersesaran lebih berkuasa 451 cc, apa yang menarik adalah Modenas Ninja 500 menggunakan casis model 250 cc.

Ditambah dengan rekaan yang memiliki ciri ergononik, menurut Modenas ia mampu memberikan pengalaman tunggangan yang menyeronokkan kepada penunggangnya.

Perincian mengenai harga dan pilihan warna untuk kedua-dua varian adalah seperti berikut:

Modenas Ninja 500 (2025)

  • Harga: 28,100

  • Warna: Black

Modenas Ninja 500 SE (2025)

  • Harga: RM 30,100

  • Lime Green, Black/Red

Seperti biasa, harga yang diumumkan pendaftaran, insurans dan cukai jalan.

Kedua-dua versi berkongsi trenkuasa yang sama iaitu enjin bersesaran 451 cc, Parallel Twin, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC yang dipadankan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Kuasa yang dihamburkan adalah sebesar 44.8 Hp @ 9,000 rpm dengan tork 42.6 Nm @ 6,000 rpm.

Sistem suspensi menggunakan fork teleskopik konvensional 41 mm (depan) dan penyerap hentak tunggal dengan ciri pelarasan (preload) berlakang.

Tugas membrek diberikan kepada cakera tunggal bersaiz 310 mm dengan kaliper 2 Piston (depan) dan cakera tunggal 220 mm dengan kaliper 1 Piston (belakang) lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran.

Selain trenkuasa, ciri-ciri lain yang dikongsi kedua-dua varian adalah seperti sistem lampu LED penuh, panel meter digital yang lengkap dengan sambungan ke telefon pintar.

Info lain adalah seperti ketinggian pelana 785 mm, berat 171 kg, kapasiti tangki bahan api 14 liter dan set roda 110/70-17 (depan), 150/60-17 (belakang).

Seperti namanya, Modenas Ninja 500 SE tampil dengan beberapa peningkatan seperti berikut:

  • Port USB Type-C untuk pengecasan peranti ketika dalam perjalanan

  • KIPASS (Kawasaki Intelligent Proximity Activation Start System) 'Keyless'

  • Panel meter TFT berwarna penuh

Kepada yang mahukan maklumat tambahan, mereka boleh melayari laman web rasmi Modenas dan Kawasaki Malaysia atau menghubungi talian bebas tol 1-800-880-008 atau WhatsApp Careline di +6019-570 8135.