MODENAS Ninja ZX-25R SE (2024) Dapat Warna Baharu, Harga Kekal RM 33.9k!

TERKINI

1/27/20241 min read

SEPERTI pernah dilaporkan MotoDotMy.com sebelum ini, Emos atau Edaran Modenas Sdn Bhd mengumumkan secara rasmi pilihan warna baharu untuk 'Sportbike' suku liter popularnya, Modenas ZX-25R SE (2024).

Pilihan warna terbaharu yang diperkenalkan itu adalah Metallic Phantom Silver X Ebony atau Stormcloud Blue, warna yang turut ditawarkan di pasaran Jepun sebelum ini.

Dan berdasarkan penelitian, pasaran Malaysia mungkin adalah yang pertama memperoleh pilihan warna berkenaan di rantau ini.

Menariknya, tiada perubahan membabitkan harga jualan diumumkan iaitu RM 33,900 (asas).

Harga berkenaan seperti biasa tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran.

Begitupun, kehadiran pilihan warna Stormcloud Blue menamatkan penawaran sebelum ini iaitu Metallic Matte Graphenesteel Grey/Ebony.

Tetapi jangan bimbang, pilihan warna popular dan tradisi 'Kawasaki' Lime Green/Ebony kekal/

Mengulas ringkas trenkuasa, Modenas Ninja ZX-25R SE (2024) dipacu enjin bersesaran 249 cc, 4 Silinder Sebaris, 16 Injap, DOHC, 4 Lejang, Penyejuk Cecair.

Kuasa yang dihamburkan ialah 45 Hp pada 15,500 rpm dan tork 21 Nm pada 13,000 rpm.

Sebagai jentera suku liter paling berprestasi di pasaran ketika ini, Modenas Ninja ZX-25R SE (2024) turut dipadankan dengan teknologi canggih yang kebiasaan tidak dimiliki pencabar lain dalam kelasnya seperti Power mode, Assist & Slipper clutch, Quick shifter dan Kawasaki Traction Control (KTRC).

Kepada yang berminat, Emos berkata pilihan warna baharu bagi Modenas ZX-25R SE (2024) akan tiba di cawangan pengedarnya pada penghujung Februari 2024.