MODENAS Ninja ZX-25R SE Dapat Warna Baharu Versi 2024, Imej Kat Kedai Tersebar!

TULAR

1/19/20241 min read

TAK sampai beberapa bulan selepas pelancaran rasminya pada September tahun lalu, Modenas Ninja ZX-25R SE dikatakan bakal memperoleh kemas kini terbaharu membabitkan pilihan warna bagi versi 2024.

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi daripada pihak pengedar, Emos tetapi menariknya imej membabitkan pilihan warna baharu berkenaan sudah pun tertiris di media sosial.

Berdasarkan pencarian di laman sesawang, pilihan warna terbaharu itu adalah Metallic Phanton Silver X Ebony.

Menariknya, ia tidak ditawarkan di dua pasaran jiran terdekat seperti Thailand mahupun Indonesia, namun di pasaran Jepun untuk versi 2024.

Sebagai info, Modenas ZX-25R SE ketika pelancarannya ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu Lime Green/Ebony dan Metallic Matte Graphenesteel Grey/Ebony.

Tidak diketahui sama ada pilihan warna terbaharu itu akan 'menamatkan' pilihan warna terdahulu namun menurut jangkaan, ia akan kekal termasuk harga jualan.

Sebagai info, Emos mengumumkan harga Modenas ZX-25R SE pada RM 33,900 (asas) tak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran.

Mengulas trenkuasa, Modenas Ninja ZX-25R SE (2023) dipacu enjin bersesaran 249 cc, 4 Silinder Sebaris, 16 Injap, DOHC, 4 Lejang, Penyejuk Cecair. Kuasa yang dihamburkan ialah 45 Hp pada 15,500 rpm dan tork 21 Nm pada 13,000 rpm.

Sebagai jentera paling 250 cc paling berprestasi di pasaran ketika ini, Modenas Ninja ZX-25R SE (2023) turut dipadankan dengan teknologi canggih yang kebiasaan tidak dimiliki pencabar lain dalam kelasnya seperti Power mode, Assist & Slipper clutch, Quick shifter dan Kawasaki Traction Control (KTRC).

Emos setakat ini masih belum memberikan sebarang informasi tetapi berdasarkan maklumat, pengumuman rasmi akan dibuat dalam masa terdekat.