MODENAS Ninja ZX-25RR Sah Tak Lancar Tahun Ini, Bakal Tiba 2024!

TULAR

8/23/20231 min read

RASANYA ramai yang masih belum 'move on' dengan perkembangan menarik ini - pengumuman mengenai harga motosikal 'Sportbike' suku liter '4 Dapur' Modenas ZX-25R SE (2023) di pasaran tempatan.

Setakat ini, ia masih berstatus pengumuman daripada pihak Emos yang juga pengedar rasmi Kawasaki di Malaysia dengan pelancaran rasminya dijadual dalam tempoh terdekat.

Susulan pengumuman itu, yang menyaksikan Modenas ZX-25R SE (2023) dijual pada harga asas RM 33,900, pelbagai 'perdebatan' tercetus di media sosial.

Ada yang menyifatkan harga itu sebagai sepadan, tetapi ada juga yang mendakwa ia agak mahal berikutan ia dipasang di kilang pemasangan Modenas di Gurun Kedah.

Dan disebalik kemelut itu, Modenas nampaknya masih 'berhutang' sesuatu kerana ketika diumumkan sebelum ini, ZX-25R akan datang dengan dua varian iaitu Modenas ZX-25RR.

Berdasarkan maklumat yang diperoleh MotoDotMy, varian tertinggi motosikal 'viral' itu sah tidak akan dilancarkan pada tahun ini.

Dan menurut perancangan Emos, ia akan dilancarkan pada tahun hadapan dengan harga pastinya lebih tinggi. Begitupun, seperti dinyatakan sebelum ini, ia dikatakan tidak akan melepasi tahap RM 40k.

Tidak dijual di pasaran Thailand, pasaran terdekat yang memasarkan Kawasaki ZX-25RR adalah Indonesia dan dijual sebagai model 2024.

Mengulas ringkas trenkuasa, tiada perubahan membabitkan varian dengan ia dijana enjin 249.8 cc, 4 Silinder Sebaris, 16 Injap, Penyejuk Cecair, DOHC yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Kuasa yang dihamburkan juga sama iaitu 51 Hp pada 15,500 rpm dan tork maksimum 22.9 Nm pada 14,500 rpm.

Dan berikutan spesifikasi Ninja ZX-25R Ninja ZX-25RR hampir sama (Panel meter TFT, Quickshifter, Mod tunggangan dan lain-lain), kelainan versi 'RR' ialah ia menerima naiktaraf dari sudut suspensi membabitkan penggunaan fork depan jenis terbalik (USD) 37 mm SFF-BP dengan pelarasan (Prabeban, top-out spring) dan penyerap hentak belakang Showa BFRC-Lite dengan ciri pelarasan penuh dengan 'subtank' nitro.