MODENAS Perkenal Logo Baharu, Tiada Lagi Ikon 'Gunung Jerai', Mahu Lebih Global!
TERKINI
8/27/20242 min read
![](https://assets.zyrosite.com/cdn-cgi/image/format=auto,w=812,h=456,fit=crop/YrDL8yMMe8TOk15G/from-left-to-right-roslan-roskan-chief-executive-officer-of-modenas-ybhg-tan-sri-syed-faisal-albar-chairman-of-modenas-and-general-managing-director-of-drb-hicom-berhad-encik-faizal-mohd-yusof-senior-direct-mp89j9g93Nf1v36y.jpeg)
![](https://assets.zyrosite.com/cdn-cgi/image/format=auto,w=328,h=216,fit=crop/YrDL8yMMe8TOk15G/from-left-to-right-roslan-roskan-chief-executive-officer-of-modenas-ybhg-tan-sri-syed-faisal-albar-chairman-of-modenas-and-general-managing-director-of-drb-hicom-berhad-encik-faizal-mohd-yusof-senior-direct-mp89j9g93Nf1v36y.jpeg)
SELEPAS hampir 30 tahun, Modenas atau nama penuhnya Motosikal dan Enjin Nasional selaras dengan aspirasi terbaharunya memperkenalkan logo baharu syarikat pengeluar dan pengedar motosikal nasional itu, hari ini.
Terkenal dengan logo ikonik yang diinspirasi daripada 'Gunung Jerai' sebelum ini, logo baharu Modenas yang diperkenalkan itu masih mengekalkan bentuk asas 'M' namun lebih moden dan ditambah dengan elemen 'Road Star'.
Menurut Modenas, pengenalan logo baharu itu turut selaras dengan matlamat syarikat untuk pengembangan global sambil menyediakan nilai, teknologi dan produk lestari secara global.
Kekal dengan warna tradisi biru dan putih, logo baharu yang diperkenalkan turut dipadankan dengan versi warna kelabu dan platinum Modenas.
Dan dengan penggunaan elemen 'Road Star', ia mencerminkan arah baharu Modenas yang menekankan kepimpinan industri, keupayaan menyesuaikan diri, dan komitmen untuk pertumbuhan.
Majlis pengenalan logo baharu yang sekaligus menjadi penjenaaan semula Modenas dirasmikan oleh Pengerusi Kumpulan Modneas dan Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom Berhad, Tan Sri Syed Faisal Albar.
Turut hadir adalah Pengarah Kanan Industri dan Pembangunan di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Faizal Mohd Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Azrul Reza Aziz, dan Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan.
Roslan ketika pelancaran logo baharu itu berkata Modenas mewakili legasi yang dibina oleh rakyat Malaysia dan selepas membina asas yang kukuh di pasaran tempatan, syarikat itu berhasrat untuk meluaskan cita-citanya untuk merentasi sempadan negara.
"Industri mobiliti kini sedang berkembang pesat, didorong oleh keperluan mendesak untuk peralihan tenaga dan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kelestarian alam sekitar.
"Dengan ini, visi baharu kami akan membawa keseronokan yang menghubungkan orang dan komuniti, dengan menyediakan nilai, teknologi, dan produk lestari di peringkat global," katanya.
Ketika ini, Modenas turut menjalankan kerjasama strategik dengan pengeluar-pengeluar global seperti Kawasaki Motors Ltd, (KMC), Kwang Yang Motor Co., Ltd (Kymco) dari Taiwan dan Bajaj Auto Limited (BAL) dari India.
Dan ia memudahkan syarikat itu untyk melebarkan sayapnya ke pasaran antarabangsa antaranya Greece, Amerika Selatan, Rusia, Thailand dan terbaharu China pada tahun ini menerusi eksport Kawasaki ZX-6R yang dipasang di Gurun, Kedah.
Selaras dengan komitmen baharu Modenas untuk menghasilkan lebih banyak motosikal berteknologi mesra alam, syarikat itu juga secara aktif membentuk masa depan yang lebih lestari.
Strategi itu sudah pun menunjukkan hasil, seperti yang dilihat dalam pembekalan motosikal elektrik MEV-1 kepada Pos Malaysia sejak 2023, menyokong misi net zero kurier negara itu.
Sebagai info, Modenas yang ditubuhkan pada tahun 1995 adalah syarikat yang ditugaskan untuk mereka bentuk, membangun dan mengeluarkan motosikal keluaran tempatan di Malaysia.
Model motosikal Modenas pertama dikeluarkan pada November 1996 dan berada dalam kategori Moped atau kapcai dengan nama Modenas Kriss 110.
Dipertontonkan kepada orang ramai semasa perarakan Hari Kebangsaan pada tahun 1996, Modenas Kriss 110 kemudian memulakan pengeluaran besar-besaran di kilangnya di Gurun pada akhir 1996.
![](https://assets.zyrosite.com/cdn-cgi/image/format=auto,w=1920,fit=crop/YrDL8yMMe8TOk15G/panel1-ALp755aNbxFevxBV.png)