MODENAS Perkenal Model Baharu Di MA 2024, Kapcai Baharu?

TERKINI

5/17/20241 min read

MODENAS atau syarikat Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd dijangka akan memperkenalkan model terbaharu ketika acara Malaysia Autoshow (MA) 2024, yang dijual minggu depan dan lebih menarik, dalam segmen popular kapcai.

Sebagai info, model kapcai atau 'cub' paling baharu dalam katalog Modenas ketika ini adalah Modenas Kriss 110 (MR3) yang diperkenalkan pada tahun 2019.

Dan model berkenaan mendapat beberapa naik taraf termasuk penggunaan brek cakera (depan) beberapa tahun lalu.

Mengikut sumber, berikutan 'usia' Modenas Kriss 110 (MR3), ada kemungkinan untuk syarikat berkenaan menayangkan model terbaharunya dalam segmen 'rakyat' itu di MA kali ini.

Tetapi jangan terlalu teruja, ia bukan model 'Super moped' seperti yang diuar-uarkan sebelum ini hasil kerjasama dengan Kawasaki.

Seperti diketahui, antara kekuatan kapcai dari Modenas adalah membabitkan harganya yang memang 'marhaen'.

Kepada yang tidak tahu, menerusi kerjasama dengan Kawasaki, Modenas ketika ini turut menjual model bawah 650 cc jenama Jepun itu menggunakan lencana Modenas.

Antara model yang pastinya 'laku keras' adalah Modenas Ninja ZX-25R SE dan terbaharu Modenas Ninja ZX-25RR.

Selain Kawasaki, Modenas turut menjalin kerjasama dengan beberapa lagi pengeluar antaranya Bajaj dari India, Kymco dari Taiwan.

Dan kesemua model yang dipasarkan di pasaran tempatan itu dipasang di kilang syarikat itu yang terletak di Gurun, Kedah.