MODENAS Perkenalkan Z15GT Care Programme, Percuma, Sah Hingga 31 Ogos 2026
Menerusi program itu, pemilik Modenas Z15GT bakal menikmati perkhidmatan pemeriksaan dan diagnosis motosikal secara percuma oleh juruteknik terlatih, serta sokongan bantuan teknikal, pembaikan dan waranti bagi kes-kes yang layak
TERKINI
7/15/20261 min read


SATU perkembangan mengujakan buat pemilik kapcai 'Super', Modenas Z15GT apabila Modenas, hari ini mengumumkan Z15GT Care Programme, inisiatif yang menawarkan perkhidmatan pemeriksaan dan bantuan lepas jualan secara percuma.
Program berkenaan yang bermula 15 Julai hingga 15 Ogos 2026 itu akan dilaksanakan melalui 57 pengedar sah Modenas terpilih di seluruh Semenanjung, Sabah, dan Sarawak.
Menerusi program itu, pemilik Modenas Z15GT bakal menikmati perkhidmatan pemeriksaan dan diagnosis motosikal secara percuma oleh juruteknik terlatih, serta sokongan bantuan teknikal, pembaikan dan waranti bagi kes-kes yang layak.
Selain itu, pelanggan juga akan diberi akses kepada komponen gantian dan alat ganti yang berkaitan, tertakluk kepada pengesahan teknikal serta ketersediaan stok.
Modenas memaklumkan mereka sudah menjalankan pelbagai persediaan termasuk penilaian teknikal, latihan kepada juruteknik, taklimat kepada rangkaian pengedar serta perancangan bekalan alat ganti.
Langkah itu diambil bagi memastikan perkhidmatan yang lebih lancar dan konsisten di semua pusat servis yang mengambil bahagian.
Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS, Roslan Roskan berkata Z15GT Care Programme dijalankan bagi memudahkan pemilik kapcai itu mendapatkan pemeriksaan motosikal dan khidmat selepas jualan melalui rangkaian pengedar sah di seluruh negara.
"Maklum balas daripada pemilik Modenas Z15GT amat dihargai dan akan digunakan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan syarikat untuk menambah baik produk, perkhidmatan serta pengalaman pemilikan.
"Justeru, pemilik Modenas Z15GT disaran menghubungi pengedar sah yang mengambil bahagian bagi menetapkan temu janji pemeriksaan. Pelanggan juga diminta membawa sijil pendaftaran motosikal serta dokumen waranti atau rekod servis bagi memudahkan proses penilaian," katanya.



