MODENAS Perkukuh Kerjasama Dengan Hyrax Oil
Kerjasama MODENAS dan Hyrax Oil yang merangkumi bekalan minyak pelincir untuk kegunaan kilang dan selepas jualan sudah terjalin sejak 10 tahun lalu iaitu pada 2016
TERKINI
2/12/20261 min read


MODENAS atau Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd melanjutkan kerjasama strategik yang sudah terjalin sejak lebih 10 tahun lalu bersama pengeluar minyak pelincir tempatan, Hyrax Oil apabila menandatangani lanjutan memorandum kerjasama, hari ini.
Hyrax Oil dan MODENAS seperti diketahui menjalin kerjasama yang merangkumi bekalan minyak pelincir untuk kegunaan kilang dan selepas jualan.
Selain itu, kerjasama itu turut merangkul sokongan teknikal, penilaian produk serta inisiatif penambahbaikan yang berterusan.
Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan, berkata Hyrax Oil dipilih kerana kualiti konsisten, keupayaan teknikal serta harga kompetitif yang penting untuk memastikan daya saing syarikat di pasaran domestik dan antarabangsa.
“Hyrax mempunyai kemampuan memenuhi spesifikasi kami, penghantaran yang mengikut jadual dan menawarkan harga kompetitif. Ini kritikal untuk kami kekal bersaing,” katanya.
Roslan menegaskan prestasi minyak pelincir amat penting bagi kebolehpercayaan sesebuah motosikal dan daya saing harga kerana jika pelincir gagal mencapai piawaian, sukar bagi MODENAS untuk bersaing di pasaran.
Mengulas lanjut, Roslan mengakui bukan kesemua produk keluaran MODENAS menggunakan minyak pelincir Hyrax Oil dan hanya digunakan pada beberapa model, khususnya segmen kapcai dan skuter.
Begitupun, penggunaan pada masa depan termasuk dijenamakan semula kepada Emos Oil akan bergantung kepada kesesuaian produk, ujian serta keperluan teknikal setiap model.
Sementara itu, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Hyrax Oil, Datuk Hazimah Zainuddin, berkata pihaknya berbangga kerjasama yang terjalin dengan Modenas.
“Saya bangga pembelian daripada MODENAS meningkat banyak kali ganda kerana ia mencerminkan pertumbuhan kukuh dan keyakinan terhadap produk kami. kerjasama ini akan terus diperkukuh seiring rancangan Modenas untuk menembusi pasaran eksport dengan lebih agresif.
Sebagai info, MODENAS kini mempunyai kapasiti pengeluaran tahunan sehingga 140,000 unit motosikal.
Majlis menandatangani lanjutan kerjasama itu turut disaksikan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perindustrian, Datuk Hanafi Sakri.



