MODENAS Rancang Tingkat Keupayaan Gurun, Kawasaki Ninja ZX-10R, Versys 1000 Bakal Pasang Di Malaysia!

TERKINI

5/30/20241 min read

MODENAS bersedia dan komited untuk meningkatkan kemampuan fasaliti pengeluarannya di Gurun, Kedah khususnya bagi jenama Kawasaki dan merancang untuk memasang model-model berstatus aras tinggi jenama Jepun itu termasuk Kawasaki Ninja ZX-10R.

Perkembangan menarik itu disuarakan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan ketika ditemui dalam satu majlis di kompleks pemasangan Modenas di Gurun, Kedah, baru-baru ini.

Ketika ini, kilang pengeluaran Modenas di Gurun memiliki lima barisan pengeluaran iaitu dua untuk model-model Modenas dan tiga untuk model Kawasaki/Modenas.

Barisan kelima untuk Kawasaki yang baru saja disiapkan tahun ini memiliki kemampuan untuk memasang model 'Sportbike' berprestasi, Kawasaki Ninja ZX-6R dan berjaya mendapat kelulusan untuk dieksport ke China.

Jadi tidak cukup dengan itu, Modenas merancang untuk menambah lagi barisan pengeluaran termasuk yang memiliki kemampuan memasang model-model aras tinggi jenama itu sebagai contoh Kawasaki Ninja ZX-10R, Kawasaki Versys 1000 dan Kawasaki Ninja 1000SX.

Dan berdasarkan menurut Roslan, barisan pengeluaran itu berkemungkinan bersedia untuk digunakan menjelang tahun ini atau awal tahun depan dan menariknya, memiliki kemampuan tertinggi.

Ketika ini, model-model yang diposisi dalam segmen aras tinggi Kawasaki tiba di pasaran sebagai model Import Penuh (CBU).

Sebagai info, barisan pengeluaran pertama Kawasaki di Gurun dipasang pada tahun 2022 diikuti barisan pengeluaran kedua pada 2023 dan barisan ketiga pada tahun ini.

Sebagai permulaan, Modenas diberi kebenaran untuk memasang model-model bersesaran 250 cc ke 650 cc yang menggunakan lencana Modenas di pasaran domestik.

Tetapi tidak menunggu lama, syarikat itu diberikan kebenaran oleh Kawasaki untuk memasang model bersesaran 900 cc jenama itu.

Selain meningkatkan peluang pekerjaan serta membuktikan keupayaan kualiti tenaga kerja tempatan, perkembangan itu pasti mengujakan peminat Kawasaki kerana ia dijangka dapat mengurangkan harga jualan model-model aras tinggi dengan agak besar.