MODENAS Tiada Rancangan Hentikan Pengeluaran Modenas Elegan EX

TERKINI

6/28/20241 min read

UMUM mengetahui syarikat pengeluar motosikal tempatan, Modenas merancang untuk mengemaskini penawarannya dalam segmen skuter maxi dengan model yang pernah hangat diperkatakan itu dijangka akan menggantikan model popularnya, Modenas Elegan EX.

Untuk model terbaharu itu - yang berkemungkinan besar menggunakan nama Modenas DTX 250 - Modenas dikatakan terus menjalin kerjasama dengan syarikat pengeluar motosikal terkemuka Taiwan, Kymco.

Tetapi sedikit mengecewakan, berdasarkan maklumat terbaharu yang diperoleh, Modenas dikatakan tidak akan melancarkan model berkenaan dalam tempoh terdekat.

Berikutan itu, Modenas Elegan EX dikatakan akan terus dikekalkan di pasaran untuk tempoh masa yang boleh dikatakan agak panjang sekurang-kurangnya sehingga penghujung tahun ini.

Lebih menarik, syarikat itu juga tidak berhasrat untuk menghentikan pengeluaran Modenas Elegan EX dengan antara alasannya adalah ia masih relevan dan kekal laris untuk pasaran tempatan.

Untuk DTX 250 pula, Modenas juga dikatakan tidak akan melancarkan model berkenaan dalam tempoh terdekat sekalipun kelibatnya sudah pun dilihat serta imejnya menjalani ujian sudah pun tertiris.

Malah pada tahun lalu, Modenas turut menjalankan sesi tayangan secara tertutup kepada pemilik Modenas Elegan 250 untuk beberapa skuter terbaharunya termasuk model yang dikatakan DTX 250 itu.

Di pasaran antarabangsa, DTX 250 dikatakan mirip model Kymco DTX360 namun model 'kembarnya' yang dipanggil Kymco S250 sudah dilancarkan di pasaran China pada tahun lalu.

Mengulas ringkas spesfikasi Kymco S250, selain rekaannya yang cukup 'sporty, ia dipadankan dengan pelbagai ciri menarik antaranya sistem lampu LED penuh termasuk DRL, panel meter digital TFT dan memiliki teknologi sistem Kawalan Traksi (TCS) dan Sistem Brek Anti Kunci (ABS).