MODENAS Umum Modenas Z15GT (2026), Kualiti Dipertingkat, Ada Pilihan Warna 'Ala' Kawasaki, RM 8,288!
Bagi menyegarkan penampilan Modenas Z15GT, motosikal 'Supermoped' pertama pengeluar motosikal nasional itu kini ditawarkan dengan warna baharu Lime Green yang mengambil inspirasi daripada identiti warna perlumbaan Kawasaki selain Amazon Green
PELANCARAN
9/10/20261 min read


PENGELUAR motosikal nasional, Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) mengumumkan versi terbaharu kapcai 'Super' popularnya, Modenas Z15GT yang kini hadir dengan 7 penambahbaikan teknikal selain 2 pilihan warna baharu.
Untuk penambahbaikan, apa yang dilakukan Modenas selaras dengan inisiatif Z15GT Care Programme bagi memastikan ketahanan jangka panjang dan kualiti optimum buat motosikal berkenaan.
Menurut Modenas, 7 penambahbaikan itu adalah membabitkan saliran dulang limpahan yang dipertingkat, perlindungan kedap pada suis tombol enjin, rekaan baharu bolt penutup 'injector', serta penambahan garisan penunjuk aras pada tuil brek hadapan.
Selain itu, turut dipertingkatkan adalah klip pemasangan penutup sisi yang diperkukuhkan, menambah penutup soket bagi melindungi sistem pendawaian daripada air, serta meletakkan rawatan pelindung pada titik pateri di dalam suis kiri dan kanan.
Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan berkata, peningkatan produk terbaharu ini mencerminkan komitmen berterusan syarikat itu terhadap pembangunan kualiti dan kepuasan pelanggannya.
Dan bagi menyegarkan penampilannya, Modenas Z15GT kini turut ditawarkan dengan warna baharu Lime Green yang mengambil inspirasi daripada identiti warna perlumbaan Kawasaki.
Satu lagi pilihan yang diperkenalkan adalah Amazon Green.
Apa yang menarik, semua penambahbaikan dan pembaharuan ini tidak meningkatkan harga jualan Modenas Z15GT (2026) yang ditawarkan pada harga asas RM 8,288 tidak termasuk cukai jalan dan insurans, dan sudah mula berada di semua wakil pengedar sah MODENAS.





