MODENAS Versys 650SE (2024) Kini Di Malaysia, Lengkap 'Box' Sisi, Mula RM 43.6k
TERKINI
9/24/20241 min read
SELEPAS kira-kira setahun pelancaran model 'Standard' tahun lalu, syarikat pengeluar motosikal nasional MODENAS memperkenalkan versi edisi istimewa model 'Sport touring' jenama itu, MODENAS Versys 650SE (2024).
Seperti namanya yang memiliki huruf 'SE', ia kini datang dengan kelengkapan menarik secara standard iaitu 'box' sisi atau 'panniers'.
Apa yang menarik, 'box' berkapasiti 56 liter yang dipadankan turut datang dengan warna yang sama dengan pilihan warna model yang diperkenalkan.
Turut menarik adalah 'pannier' yang dipadankan boleh dibuka dan dikunci menggunakan kunci sama yang digunakan untuk menghidupkan motosikal dan memiliki sistem 'quick release'.
Dan dua pilihan warna yang ditawarkan bersama dengan corak grafik baharu adalah Metallic Spark Black dan Candy Lime Green/Metallic Flat Spark Black.
Untuk pilihan warna Metallic Spark Black, harga yang ditawarkan adalah RM 43,600 (asas).
Manakala untuk pilihan warna Candy Lime Green/Metallic Flat Spark Black, harganya sedikit tinggi iaitu RM 44,200 (asas).
Harga yang diumumkan tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran.
Seperti dinyatakan, tiada perubahan membabitkan rekaan dan trenkuasa yang dipadankan.
Justeru, MODENAS Versys 650 SE (2024) kekal dijana enjin bersesaran 649 cc, 2 Silinder Parallel Twin, 8 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.
Kuasa yang dihamburkan adalah 69 PS pada 8,500 rpm dan tork 64 Nm pada 7,000 rpm.
Antara ciri-ciri menarik termasuklah KTRC (Kawasaki TRaction Control) yang datang dengan dua tetapan, sistem lampu LED penuh, visor angin boleh laras dan panel meter digital TFT penuh lengkap dengan sistem sambungan telefon pintar melalui aplikasi “Rideology” oleh Kawasaki.
Sebagai motosikal 'Sport touring', antara informasi yang perlu dikongsikan adalah seperti jarak lega bumi (170 mm), kapasiti tangki bahan api (21 liter), ketinggian pelana (845 mm) dan berat 219 kg.
Kepada yang berminat, Modenas Versys 650 SE (2024) dijadual tiba ke cawangan pengedar sah Kawasaki di seluruh Malaysia pada bulan Oktober ini.
Untuk maklumat lanjut boleh melayari laman web rasmi Modenas atau Kawasaki Malaysia di https://modenas.my/v2/, http://www.kawasaki.com.my/ atau hubungi Talian Bebas Tol di 1-800-880-008 atau WhatsApp Careline di +6019-570 8135.