MODENAS Versys-X 250 (2023) Rasmi Di Malaysia, RM 24.9k, 2 Warna, Banyak 'Jajan'

TERKINI

9/6/20232 min read

SELEPAS Modenas Ninja ZX-25R SE, Edaran Modenas Sdn Bhd (Emos) mengumumkan pula harga bagi salah satu model yang turut ditunggu-tunggu dalam segmen 'Adventure Touring', Modenas Versys-X 250 (2023), hari ini.

Tiba pada harga RM 24,900 (asas), motosikal yang dilabel sebagai 'The Game Changer' ini ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu Metallic Flat Spark Black/CDY Lime Green dan Metallic Flat Spark Black/CDY Lime Green.

Seperti biasa, harga yang diumumkan adalah asas dan tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran.

Didakwa mampu memberi pengalaman tunggangan off-road lebih sempurna, apa yang menarik untuk Modenas Versys-X 250 (2023) yang ditawarkan Emos adalah ia lengkap dengan pelbagai 'jajan' atau aksesori.

Antara yang paling menarik pastinya 'pannier' berkapasiti 17 liter selain 'crash bar', 'hand guard', lampu kabus dan visor angin jenis tinggi.

Di bahagian trenkuasa, Modenas Versys-X 250 (2023) dipadankan dengan enjin yang cukup terkenal seantero iaitu bersesaran 249 cc, 2 Silinder, 8 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual (Assist & Slipper).

Kuasa yang dihamburkan adalah 32.5 Hp pada 11,500 rpm dan tork 21 Nm pada 10,000 rpm.

Menjana sistem suspensi motosikal ini adalah fork jenis teleskopik (konvensional) 41 mm (depan) dan penyerap hentak tunggal (belakang).

Sistem brek menggunakan cakera tunggal (depan dan belakang) bersama kaliper 2 piston dan lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran.

Sebagai motosikal yang direka mampu melalui pelbagai permukaan jalan, set roda yang diberikan adalah bersaiz 100/90-19 (depan) dan 130/80-17 (belakang) dengan rim jenis jejari.

Informasi penting lain adalah seperti berikut:

  • Berat 181 kg

  • Tinggi pelana 815 mm

  • Panel meter gabungan analog/digital LCD

  • Tangki bahan api 17 liter

  • Jarak lega bumi 180 mm

Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan berkata Modenas Versys-X 250 (2023) memang disasarkan untuk tiba ke pasaran Malaysia pada harga yang kompetitif.

Justeru, dengan harga yang ditawarkan dan ditambah ciri-ciri yang luar biasa, pihaknya percaya ia akan menjadi pengubah segmen jelajah pengembaraan di Malaysia.

Kepada yang berminat, tempahan motosikal ini sudahpun dibuka dan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai mengenainya, anda boleh melayari laman web rasmi MODENAS dan/atau laman web rasmi KAWASAKI Malaysia di https://modenas.my/v2, http://www.kawasaki.com.my/.

Selain itu, anda juga boleh menghubungi Talian Bebas Tol di 1-800-880-008 atau WhatsApp Careline di +6019-570 8135.