MODENAS Z15GT (2025) Dilancarkan, Supermoped 'Hasil Tangan' Anak Malaysia Gegar Pasaran, RM 8.3k!

Pelancaran Modenas Z15GT (2025) bersempena dengan Grand Prix (GP) Malaysia 2025 ini menandakan satu lonjakan baharu buat Modenas dalam segmen motosikal kapcai berprestasi tinggi di pasaran tempatan yang diketahui persaingannya amat sengit

PELANCARAN

10/24/20252 min read

SYARIKAT Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) hari ini melakar sejarah dengan pelancaran supermoped pertamanya, Modenas Z15GT (2025), model yang dibangunkan hasil gabungan 'air tangan' jurutera tempatan dengan sentuhan teknologi global.

Pelancaran yang diadakan bersempena dengan Grand Prix (GP) Malaysia 2025 ini menandakan satu lonjakan baharu buat Modenas dalam segmen motosikal kapcai berprestasi tinggi di pasaran tempatan yang diketahui persaingannya amat sengit.

Apa yang menarik, sepeti 'tag line' Modenas iaitu 'Untuk semua', Modenas Z15GT (2025) hadir dengan tanda harga pengenalan cukup mengujakan iaitu RM 8,288 (asas).

Justeru, Modenas Z15GT (2025) bukan saja meletakkan penanda aras baharu dari segi ciri dan nilai untuk wang, namun dilihat cukup berpotensi untuk memberikan saingan sengit kepada model-model popular khususnya daripada pengeluar Jepun yang sudah lama bertapak di pasaran.

DNA Kawasaki, Inspirasi Arowana

Sekali pandang, Modenas Z15GT (2025) menyerlahkan aura sebuah jentera streetfighter premium. Dan penggunaan 'Z' itu menunjukkan ia memiliki 'kaitan' dengan pengeluar motosikal gergasi Jepun, Kawasaki yang juga rakan niaga Modenas.

Diinspirasikan oleh falsafah reka bentuk 'Sugomi' Kawasaki, jentera ini tampil dengan garisan badan yang tajam, agresif dan berani.

Uniknya, pasukan pereka tempatan turut menyuntik elemen kebanggaan Malaysia dengan menggabungkan aliran garisan yang diilhamkan daripada ikan Arowana Emas, menghasilkan reka bentuk yang dinamik dan mengalir yang dapat dilihat jika Modenas Z15GT (2025) dipandang daripada depan.

Penampilan berkonsepkan futuristik dan berekor tirus dan diserlahkan lagi dengan lampu hadapan kompak, ia memberikan Modenas Z15GT (2025) gaya sebuah jentera gagah.

Sebelum pergi lebih jauh, Modenas Z15GT (2025) ditawarkan dalam tiga pilihan warna menarik:

  • Rosso Red

  • Nardo Grey

  • Graphite Grey

Kuasa Terunggul, Diiktiraf Global

Di bahagian trenkuasa, Modenas Z15GT (2025) digandingkan dengan enjin 150 cc, 1 Silinder, 4 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC yang dipadankan dengan kotak gear 6 kelajuan.

Kuasa yang dihamburkan adalah setinggi 12.5 kW pada 9,500 rpm dan tork 13.5 Nm pada 7,500 rpm.

Selain itu, ia turut mendapat pensijilan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) dan menurut Modenas, prestasi enjin ini sudah diuji dan mengharungi ujian ketahanan sejauh 20,000 km dan mendapat pengesahan daripada pakar di Kawasaki Jepun dan Austria.

Ciri Mewah, Harga Mampu Milik

Selain daripada itu, Modenas Z15GT (2025) turut memiliki ciri-ciri menarik apabila yang dilengkapi dengan teknologi yang kebiasaan tidak dipadankan dalam kelasnya seperti Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) saluran tunggal, Sistem Kunci Pintar, Fungsi Lampu Kecemasan, dan Pengecas USB secara standard.

Selain itu, ia turut dimuatkan dengan tangki bahan api sebesar 5.7 liter, yang terbesar dalam segmennya, paparan digital LCD penuh dan sistem lampu LED sepenuhnya.

Kombinasi ciri-ciri premium ini memberikan pengalaman tunggangan ala 'big bike' dalam pakej supermoped yang praktikal.

Kebanggaan Malaysia, Buatan Jurutera Tempatan

Di sebalik reka bentuk dan prestasi yang mengagumkan, pencapaian terbesar Modenas Z15GT (2025) adalah adalah hasil 'tangan' dan rekaan dan pembangunan anak-anak Malaysia di pusat R&D MODENAS.

Seperti diumumkan sebelum ini, seramai 31 jurutera, pereka dan juruteknik tempatan dibawa ke Eropah dan beberapa lagi negara selama 3 tahun 5 bulan untuk menjayakan projek ini.

Melalui kerjasama teknikal dengan Kawasaki juga, seramai 8 jurutera tempatan dihantar untuk menjalani latihan pemindahan ilmu di Jepun dan Austria, khususnya dalam falsafah reka bentuk dan teknologi enjin termaju.

"Ini adalah ciptaan rakyat Malaysia. Sebuah motosikal yang dibina oleh jurutera kita, dilatih di peringkat global, tetapi berakar umbi daripada bakat dan kebanggaan Malaysia," kata Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan.

Info lain

  • Suspensi fork teleskopik (depan) dan penyerap hentak tunggal (belakang)

  • Set roda 90/80-17 (depan), 120/70-17 (belakang)

  • Tinggi pelana 780 mm

  • Berat 128 kg