MODENAS Z650 ABS (2024) Dapat Warna Baharu, Harga Asas RM 35.2k

TERKINI

10/30/20231 min read

TAK sampai beberapa bulan selepas pelancaran rasminya di pasaran tempatan pada Julai lalu, Emos atau Edaran Modenas mengemaskini penawarannya untuk model 'Naked' Modenas Z650 ABS (2024).

Kemas kini yang dilakukan itu begitupun hanya membabitkan pilihan warna baharu menyamai penawaran di pasaran global.

Pilihan warna dan corak grafik baharu itu adalah Candy Persimmon Red/Noble Frame Metallic Red/Wheel Metallic Persimon Red.

Selain itu panel badan, untuk menambah tarikan, bahagian kerangka dan rim motosikal ini turut dipadankan dengan warna merah 'Candy Persimmon Red'.

Dan harga yang disyorkan adalah RM 35,200 (asas).

Ketika dilancarkan, Modenas Z650 ABS datang dengan dua pilihan warna iaitu Metallic Spark Black dan Metallic Matte Graphenesteel Gray yang masing-masing dijual pada harga RM 34,500 dan RM 35,200 (asas).

Kepada yang tak tahu, Modenas Z650 ABS (2024) antara model yang dipasang di fasiliti serba canggih di kilang pemasangan Modenas Gurun Kedah.

Di bahagian trenkuasa, Modenas Z650 ABS (2024) dijana enjin bersesaran 649 cc, 2 Silinder Parallel Twin, 8 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Kuasa yang dihamburkan adalah 67.3 Hp pada 8,000 rpm dan tork 65 Nm pada 6,750 rpm.

Ciri-ciri menarik lain termasuklah penggunaan panel meter digital penuh TFT yang lengkap dengan sambungan telefon pintar melalui aplikasi “Rideology” Kawasaki.

Selain itu, ia turut tampil dengan ciri Kawasaki Traction Control (KTRC) tiga tetapan termasuk mod 'off'.

Di bahagian suspensi, ia dipadankan dengan fork teleskopik konvensional (depan) dan penyerap hentak tunggal dengan ciri pelarasan preload (belakang).

Sistem brek pula menggunakan cakera berkembar 300 mm dengan kaliper dua piston (depan) dan cakera berkembar 220 mm (belakang) lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran.

Kepada yang berminat, anda boleh melayari laman web https://modenas.my/v2/ atau hubungi Talian Bebas Tol di 1-800-880-008 atau WhatsApp Careline di +6019-570 8135.