MODENAS Z650S (2026) Debut Pasaran Malaysia Di MBS 2026, RM 35.6k!

Motosikal yang diposisi dalam segmen 'Naked', Modenas Z650S menjadi motosikal pertama dilancarkan sempena acara Malaysia Bike Show 2026 yang berlangsung di Maeps, Serdang

PELANCARAN

5/29/20261 min read

MODENAS memulakan acara Malaysia Bike Show (MBS) 2026 dengan melancarkan motosikal dalam segmen 'Naked', Modenas Z650S (2026) yang tampil bersama tanda harga RM 35,600.

Seperti biasa, angka itu tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.

Sebagai info, Modenas Z650S adalah 'kembar' kepada Kawasaki Z650S yang membuat kemunculan di peringkat global pada 2025.

Justeru, ia hadir dengan beberapa penambahbaikan, terutamanya dari sudut ergonomik tunggangan berbanding generasi sebelumnya.

Antaranya adalah ia kini dilengkapi bar hendal yang lebih lebar dan diposisikan sedikit ke hadapan, manakala tempat letak kaki dianjak lebih ke belakang dan ketinggian pelana turut ditingkatkan kepada 805 milimeter (mm) berbanding 795 mm sebelum ini.

Selain itu, rekaan tangki bahan api turut baharu dengan rupa yang lebih segar namun kapasitinya kekal pada 15 liter.

Sebagai model generasi baharu, turut mendapat rekaan baharu adalah panel badan berserta rekaan lampu hadapan dan belakang yang lebih moden.

Di bahagian kokpit, penunggang dihidangkan dengan skrin paparan TFT-LCD bersaiz 4.3 inci yang menawarkan dua pilihan tema paparan, selain menyokong kemudahan sambungan Bluetooth ke telefon pintar penunggang.

Begitpun, tiada perubahan dilakukan pada bahagian trenkuasa dengan Modenas Z650S kekal dikuasakan oleh enjin 649 cc, 2 Silinder parallel-twin, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api yang digandingkan bersama kotak gear enam kelajuan berserta klac Assist & Slipper.

Kuasa berada pada angka 68 PS pada 8,000 rpm dan tork 64 Nm pada 6,700 rpm.

Sistem henti motosikal yang memiliki berat 190 kg ini ditugaskan kepada brek cakera kembar bersaiz 300 mm dengan angkup 2 piston (depan) dan cakera tunggal 220 mm dengan angkup 1 piston (belakang).

Sistem suspensi menggunakan fork teleskopik berdiameter 41 mm di hadapan dan penyerap hentak tunggal (monoshock) dengan pelarasan preload (belakang).

Apa yang menarik, turut didatangkan standard dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dwi-saluran serta sistem kawalan cengkaman (traction control) dua tahap tetapi sistem penukar gear pantas (quick shifter) ditawarkan sebagai aksesori pilihan tambahan.