MODENAS/Kawasaki Ninja ZX-25R Belum Nampak Bayang, Tapi Tempahan Ninja 650, Z650 Pula Dibuka!

TULAR

7/12/20231 min read

KETIKA ramai peminat usahasama Kawasaki/Modenas 'sabar' menantikan kehadiran jentera 'Sportbike' 4 Silinder 250 cc popular Ninja ZX-25R di pasaran tempatan, timbul satu lagi perkembangan sedikit berbeza apabila tempahan Ninja 650 dan Z650 sudah mula dibuka.

Tidak diumumkan oleh Kawasaki Malaysia atau Emos selaku pengedar rasmi jenama Jepun itu di tanah air, perkembangan itu didedahkan beberapa rangkaian pengedarnya di laman sosial.

Sebelum ini, satu lagi model 'Sport touring' popular, Versys 650 ABS turut dibuka tempahannya.

Menurut laporan media tempatan, pelancaran Versys 650 ABS dan Ninja 650 dan Z650 yang dijangka menggunakan lencana Modenas dijadual dilancarkan pada bulan ini (Julai).

Tetapi sehingga kini, belum ada perkembangan atau bayangan diberikan oleh Emos atau Kawasaki Malaysia mengenainya.

Kepada yang tak tahu mengapa beberapa model Kawasaki dijenamakan semula kepada Modenas, ia adalah berikutan perjanjian kerjasama yang menyaksikan model-model Kawasaki dengan kapasiti enjin 650 cc ke bawah dijenamakan semula sebagai Modenas di pasaran tempatan.

Setakat ini, model Kawasaki yang 'hidup kembali' sebagai Modenas adalah Modenas Ninja 250, Ninja 250 ABS, Z250 ABS dan Vulcan S ABS.

Menariknya, kesemua model yang disebutkan itu dipasang di kilang pemasangan Modenas di Gurun, Kedah yang menyaksikan penawaran harga yang ditawarkan cukup 'menyelerakan'.

Dan apa yang lebih menarik, hasil daripada perjanjian itu turut menyaksikan model-model yang masih menggunakan lencana Kawasaki turut dapat dijual pada harga yang mengujakan.