MOKHZANI Kekal Pimpin MAM 2023-2026, Bos RNF MotoGP, Razlan Turut Pertahan Jawatan

TERKINI

10/6/20231 min read

SEPERTI dijangka, Tan Sri Mokhzani Mahathir memenangi perebutan jawatan 'Kerusi panas' Presiden Presiden Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) bagi penggal 2023 hingga 2026.

Keputusan yang diperoleh pada Mesyuarat Agong Tahunan MAM, semalam itu turut menyaksikan tokoh korporat itu mengekalkan jawatan yang disandangnya sebelum ini.

Mokhzani mengekalkan kerusi nombor satu persatuan itu dengan menewaskan pencabarnya yang bekas pelumba GP negara Shahrol Yuzy Ahmad Zaini.

Turut dipilih semula untuk terus berkhidmat bagi penggal 2023-2026 adalah Dato' Mohammed Rhiza Ghazi (Timbalan Presiden) dan S.N.Nanthan (Setiausaha Agung).

Prinsipal dan pemilik pasukan MotoGP RNF Aprilia Racing yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Dato' Razlan Razali mengekalkan jawatannya sebagai Bendahari.

Bagi jawatan Timbalan Presiden, Mohammed Rhiza mengatasi cabaran bekas pelumba Kuan Meng Heng manakala Nanthan mengatasi cabaran promoter sukan, Adian Yein Khalid.

Sementara itu, Razlan pada pemilihan kali ini memperoleh cabaran yang sengit daripada Jed David sebelum meraih kemenangan.

Mengulas pemilihan semula beliau dan pasukannya, Mokhzani merakamkan penghargaan kepada ahli-ahli gabungan MAM yang memilih untuk memastikan segala aktiviti, perancangan dan program jangka masa panjang sukan permotoran tanahair diteruskan.

“Saya bersama pasukan bimbingan saya ini berazam untuk memegang amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepada kami dengan sebaik mungkin. Untuk menjayakan program-program ini, kami berharap untuk mendapat sokongan penuh daripada semua ahli-ahli gabungan bagi memperkasakan lagi sukan pemotoran negara,” kata Mokhzani