MONSTER Yamaha, Pramac Yamaha Dedah 'Liveri' 2025 Di KL
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
1/31/20251 min read


YAMAHA Racing seperti dijadualkan mendedahkan 'liveri' baharu kedua-dua pasukannya yang bertanding di MotoGP 2025 - Monster Yamaha dan Pramac Yamaha, hari ini di sebuah lokasi berlatar belakangkan bangunan ikonik KLCC di Kuala Lumpur.
Untuk Monster Yamaha yang juga pasukan 'kilang' jenama Jepun itu, tiada banyak perubahan yang berlaku dari sudut skema warna yang ditampilkan jentera baharu namun menurut pelumbanya, Fabio Quartararo, ia kini mempunyai 'lebih' warna biru.
Selain Quartararo, Monster Yamaha turut dipacu pelumba Sepanyol, Alex Rins yang memasuki musim keduanya bersama pasukan itu.
Yamaha pada musim ini kembali membariskan empat jentera di grid MotoGP sejak kali terakhir melakukannya pada musim 2022 bersama pasukan WithU RNF Yamaha Racing.
Selepas dua musim tanpa pasukan 'satelit' yang menyaksikan Yamaha mengharungi kempen terburuknya di MotoGP pada musim lalu selepas mengisi tangga keempat kategori pengeluar dengan Quaratararo menghuni kedudukan ke-13 kategori pelumba, mereka kini bersama Pramac.
Seperti diketahui, Pramac Racing pada musim lalu menjalankan kerjasama dengan Ducati dan menjulang gelaran dunia bersama pelumbanya, Jorge Martin.
Untuk Pramac Yamaha, pasukan itu tampil dengan perubahan besar-besaran dari sudut corak liveri dan skema warna yang digunakan berbanding tahun lalu.
Bersama rakan kongsi baharu Alpine, pasukan itu membariskan dua pelumba berpengalaman, Jack Miller dan Miguel Oliveira.
Selain itu, Yamaha Racing turut memperkenalkan pasukannya yang akan bersaing di pentas Moto2 iaitu Blu Cru Pramac Yamaha dan membariskan dua pelumba, Tony Arbolino dan Izan Guevara.
Pasukan yang menggunakan casis Boscoscuro itu akan diketuai oleh bekas pelumba MotoGP, Alex de Angelis.
Pada majlis sama, Yamaha turut mendedahkan yang syarikat itu akan mengadakan majlis istimewa bagi meraikan ulang tahun ke-70 mereka pada Julai tahun ini.
