MOONEY VR46 Jadi Pertamina VR46 Di MotoGP Mula Musim Depan

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/14/20231 min read

PASUKAN MotoGP milik legenda, Valentino Rossi, VR46 akan dinamakan sebagai Pertamina Enduro VR46 Racing Team bermula musim depan selepas gergasi petroleum Indonesia, Pertamina mengesahkan perjanjian sebagai penaja utama.

VR46 pada musim ini mendapat penajaan utama daripada syarikat berkaitan pembankan dan pembayaran dari Itali, Mooney.

Tiada perubahan dari sudut pelumba atau jentera dengan pasukan itu akan terus dipacu dua pelumba, Luca Marini dan Marco Bezzecchi serta menggunakan jentera Ducati yang setahun lebih 'tua'.

Perjanjian awal penajaan itu membabitkan tempoh selama tiga tahun iaitu 2024, 2025 dan 2026.

Ia bermakna perjanjian itu akan melebihi tempoh perjanjian membabitkan jentera dengan pasukan itu hanya menandatangani perjanjian bersama Ducati sehingga musim depan.

Jika tidak bersama Ducati, VR46 dijangka akan bekerjasama dengan Yamaha untuk menjadi pasukan satelit jenama Jepun itu.

"Selamat datang Pertamina Lubricant, yang bagi tiga musim berikutnya akan menjadi rakan kongsi utama kepada VR46 Racing Team, yang menjadi penanda penting dalam sejarah pasukan kami, perkara penting dan melangkah ke depan untuk mencapai sasaran kami," kata Pengarah VR46, Alessio Salucci.

"Kami memang amat berbangga untuk mengadakan perjanjian dengan jenama seperti ini dalam dunia permotoran. Dengan sinergi baru ini, kami bukan saja berkongsi cita-cita yang sama, tetapi kami menggabungkan dua tapak dan peminat terbesar dalam MotoGP.

"Jambatan diantara peminat-peminat di Itali dan kepada semuya yang mengikuti kami di Indonesia dan kami berharap memberikan kepuasan yang penting untuk masa depan."

Memetik laporan Crash.net, ada khabar angin yang turut menyatakan Pertamina yang juga penaja utama GP Indonesia 2023 akan menaja Rossi dalam kariernya di perlumbaan empat roda.