MORBIDELLI 'Bantai' Yamaha, Pakej Di MotoGP Sekarang Tak Mampu Dapat Keputusan 'Padu'
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/6/20232 min read
KEPUTUSAN Yamaha MotoGP menandatangani kontrak dengan Alex Rins, musim depan jelas mencetuskan situasi kekok di kem pasukan itu terutama membabitkan pelumbanya yang bakal disingkirkan, Franco Morbidelli.
Selepas situasi aneh itu, Morbidelli menjelaskan dia masih lagi berstatus 'Free Agent' ketika ini namun mengakui ingin kekal di kejuaraan elit itu pada musim depan.
Pelumba kelahiran Itali itu, yang menyertai Yamaha sejak musim 2019 selepas menghabiskan satu kempen bersama Marc VDS Honda begitupun dijangka akan menyertai pasukan satelit Ducati.
"Bukan rahsia yang prestasi yang kami tampilkan tidak baik, dan pakej yang ada tidak selari untuk mencapai keputusan yang hebat," kata Morbidelli yang kali terakhir menaiki podium di Jerez, Sepanyol pada musim 2021.
"Sebagai tambahan, pasukan juga bercakap dengan pelumba lain. Perkara ini, sudah tentu akan mengurangkan 'magis' dan saya berkata selepas Mugello 'Adakah saya ingin kekal dengan Yamaha?' Saya menyoal diri sendiri.
"Pasukan menjadikan ia bertambah mudah buat saya, tidak mahu melanjutkannya (kontrak) dengan cara menandatangani Alex, yang juga seorang pelumba yang hebat.
"Kini, saya berada dalam posisi yang tidak selesa kerana saya tidak tempat untuk berlumba musim depan. Ini juga boleh menjadi motivasi tambahan pada separuh masa kedua musim ini," katanya memetik laporan Crash.net.
Selain Rins, Morbidelli yang juga naib juara dunia MotoGP musim 2020 turut mendedahkan Yamaha turut mengadakan perbincangan dengan pelumba lain termasuk bintang WSBK, Toprak Razgatlioglu.
Morbidelli dalam pada itu berharap pengurusan VR46 milik legenda Valentino Rossi akan membantunya mencari tempat di MotoGP musim depan.
"Ya, sasaran saya adalah kekal di MotoGP. Saya merasa hebat dan berpengalaman. Saya baru berusia 28 tahun, masih muda. Saya mempunyai pengalaman yang hebat dalam kategori ini, bersaing untuk kejuaraan tanpa menyedarinya.
"Saya mahu merasai pengalaman itu sekali lagi. Saya yakin pengurusan VR46 akan membantu saya.
"Penjalanan saya dengan Yamaha hebat. Tetapi dua musim terakhir tidak begitu baik. Saya berjumpa ramai orang yang baik, mempunyai hubungan yang baik dengan mereka dan akan kekal baik dengan mereka secara peribadi.
"Saya sentiasa cuba melakukan yang terbaik. Saya menerima banyak ucapan dukacita daripada ramai orang (selepas berita mengenai Rins tersebar). Ia membuatkan saya sedih. Tetapi tidak mengapa, itu cara dunia ini bergerak."
Morbidelli yang keputusan terbaiknya pada tahun ini di tangga keempat ketika ini menghuni tangga ke-11 carta pelumba MotoGP, tapi hanya ketinggalan tujuh mata di belakang rakan sepasukannya, Fabio Quartararo.