MORBIDELLI Malaysia Lancar 'ADV Touring' Morbidelli T502X, Rekaan Agresif, RM 28,888!

Morbidelli T502X bakal bersaing dalam segmen yang boleh dikatakan cukup padat daripada pelbagai jenama termasuk daripada China sendiri dan antara 'kekuatannya' pasti dari sudut rekaan yang menarik dan moden

PELANCARAN

11/29/20251 min read

PERSAINGAN motosikal dalam segmen 'Adventure touring' di Malaysia makin meriah apabila Morbidelli memperkenalkan jagoan terbaharunya untuk pasaran tempatan, Morbidelli T502X.

Dilancarkan sempena sesi kunjungan MForce Bike ke China, Morbidelli T502X diumumkan pada harga jualan asas cukup menarik, RM 28,888.

Seperti biasa, angka harga yang diumumkan tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran.

Bakal bersaing dalam segmen yang boleh dikatakan cukup padat daripada pelbagai jenama termasuk daripada China sendiri, antara 'kekuatan' Morbidelli T502X pastinya dari sudut rekaannya yang menarik dan moden.

Tetapi bukan sekadar rupa, ia turut tampil dengan spesifikassi menarik termasuk membabitkan trenkuasa.

Menjana motosikal ini adalah enjin bersesaran 486 cc, 2 Silinder Parallel Twin, 8 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC bersama transmisi 6 kelajuan klac manual lengkap klac slipper.

Kuasa yang dihamburkan adalah pada angka 47 Hp pada 8,500 rpm dan tork 45 Nm pada 6,750 rpm.

Seperti model-model terbaharu dan moden lain, Morbidelli T502X boleh dikatakan tampil dengan kelengkapan elektronik menarik antaranya Kawalan Cengkaman (TCS) dan mempunyai dua mod tunggangan.

Panel meter menggunakan skrin TFT berwarna 7 inci dan memiliki ciri sambungan ke telefon bimbit dengan sistem navigasi terbina dan TPMS.

Selain itu, ia turut memiliki applikasi T-BOX dan fungsi SOS, USB Type-A dan Type-C.

Suspensi menggunakan fork USD 43 mm dengan jarak gerak 180 mm (depan) dan penyerap hentak tunggal dengan jarak gerak 69 mm (belakang).

Pakej brek menggunakan cakera kembar bersaiz 300 mm dengan kaliper 2 Piston dengan jenama J.Juan (depan) dan cakera tunggal 240 mm dengan kaliper 1 Piston (belakang).

Memiliki kemampuan untuk meredah jalan lasak, Morbidelli T502X menggunakan rim 19 inci (depan) dan 17 inci (belakang) jenis jejari dan dipadankan dengan tayar jenis Pirelli Scorpion Rally STR.

Antara perincian lain ditawarkan termasuk:

  • Tangki bahan api 18 liter

  • Berat 210 kg

Sebagai model yang dijangka akan mendapat sambutan menggalakkan, pihak MForce Bike tidak ingin menunggu lama untuk membawa masuk Morbidelli T502X ke Malaysia dan dijangka mula berada di cawangan bilik pengedar seawal Januari ini.