MORBIDELLI T1002VX (2025) Kini Di Malaysia, 200 Unit Terawal Dapat Harga Istimewa RM 49.8k!

PELANCARAN

1/26/20252 min read

SYARIKAT pengedar motosikal terkemuka, MForce Bike Holdings Sdn Bhd (MForce Bike) baru-baru ini memperkenalkan satu lagi model terbaharu daripada jenama Morbidelli ke pasaran tempatan, Morbidelli T1002VX (2025).

Diposisikan dalam segmen 'Adventure touring', Morbidelli T1002VX (2025) adalah antara model terbaharu jenama itu dan membuat debutnya pada November tahun lalu di China.

Untuk pasaran tempatan, Morbidelli Malaysia turut menawarkan pakej promosi menarik di mana 200 unit terawal akan dijual pada harga istimewa iaitu RM 48,888 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans).

Dan selepas promosi itu berakhir, ia akan kembali kepada harga asal iaitu asas RM 53,888.

Tampil dengan rekaan yang menarik dan 'garang', dua pilihan warna ditawarkan iaitu Hitam dan Putih.

Mengulas bahagian trenkuasa, Morbidelli T1002VX (2025) dikuasakan oleh enjin 997 cc V-Twin, 4-lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api yang dipadankan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Kuasa yang dihasilkan adalah 87 Hp pada 7,500 rpm dan tork 89 Nm pada 5,250 rpm.

Dengan nisbah mampatan 10.3:1, Morbidelli Malaysia berkata motosikal ini menawarkan penghantaran kuasa yang konsisten dan dinamik.

Seperti motosikal moden lain, Morbidelli T1002VX (2025) yang cukup sesuai untuk digunakan bagi aktiviti menjelajah turut mempunyai ciri idaman iaitu sistem Kawalan Jelajah atau 'Auto Cruise'.

Empat mod tunggangan tersedia yang boleh diakses menerusi panel meter TFT berwarna yang memiliki ciri sambungan ke telefon pintar.

Menariknya, Morbidelli turut mempunyai aplikasi khas dikenali MBP Connect yang memberikan pemilik akses penuh terhadap informasi motosikal (Motometric) seperti baki minyak, kelajuan motor, rekod penyelenggaraan motosikal dan peringatan untuk servis berkala.

Dan jangan bimbang, MBP Connect turut mempunyai ciri navigasi serta rekod perjalanan serta sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).

Di bahagian sistem henti, motosikal ini dipadankan dengan brek cakera berkembar 320 mm dan kaliper J.Juan 4 Piston (depan) dengan cakera tunggal 260 mm dengan kaliper J.Juan 1 Piston (belakang) dan lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran.

Sistem suspensi menggunakan fork jenis terbalik (USD) boleh laras (depan) dna penyerap hentak tunggal dengan ciri boleh laras (belakang).

Info lain adalah seperti berikut:

  • Set roda - 120/70-19 (depan), 70/60-17 (belakang)

  • Tinggi pelana 820 mm

  • Tangki bahan api 20 liter

  • Lampu kecemasan

  • Berat 265 kg

  • Visor angin boleh laras manual

  • Port pengecasan USB Type-A dan Type-C

Aksesori yang dipadankan secara standard termasuklah pelindung terotel, dan tiga kotak bagasi iaitu 'top box' berkapasiti 50 liter dan pannier yang masing-masing berkapasitu 42 dan 36 liter.

Seperti biasa, pembeli berpeluang untuk menikmati jaminan pengeluar iaitu perbatuan tanpa had untuk tempoh dua tahun.

Kepada yang berminat, Morbidelli T1002VX (2025) sudah pun boleh didapati di mana-mana pengedar sah MForce Bike seluruh Malaysia.