MORBIDELLI Umum T250X Untuk Pasaran Malaysia, 2 Varian, Mula RM 9,888!
Sempena lawatan dianjurkan MForce Bike ke China, Morbidelli melancarkan beberapa model baharu untuk pasaran tempatan dan antara yang menarik adalah dalam segmen 'Adventure touring' aras mula, Morbidelli T250X
PELANCARAN
11/25/20251 min read


MORBIDELLI sempena lawatan dianjurkan MForce Bike ke China melancarkan beberapa model baharu untuk pasaran tempatan dan antara yang menarik adalah dalam segmen 'Adventure touring' aras mula, Morbidelli T250X.
Tampil dengan rekaan yang boleh dianggap menarik, tetapi apa yang lebih mengujakan adalah harganya dengan pihak MForce Bike menerusi Morbidelli Malaysia mengumumkan ia bermula di bawah RM 10k.
Ditawarkan dalam dua varian - Standard dan Special Edition - Morbidelli T250X versi Standard diumumkan pada harga RM 9,888.
Manakala untuk versi Special Edition, harga jualan yang diumumkan adalah RM 11,288 dan ia lengkap denga tiga box simpanan.
Tiba dengan harga mengujakan, apa yang menarik adalah Morbidelli T250X bukan model yang boleh dianggap asas.
Jadi seperti motosikal moden lain, ia memiliki Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dwi-saluran, Kawalan Cengkaman (TCS) dan panel meter digital LCD 7 penuh.
Dari sudut trenkuasa, ia dipadankan dengan enjin bersesaran 249 cc, 1 Silinder Sebaris, Penyejuk Udara/Minyak, Suntikan Bahan Api dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.
Kuasa yang dihamburkan adalah ini 24.4 Hp pada 7,500 rpm dan tork 22.3 Nm pada 6,000 rpm.
Sistem suspensi menggunakan fork USD 41 mm dengan jarak gerak 177 mm dan monoshock belakang dengan jarak gerak 55 mm dengan pelarasan pra-beban.
Sistem henti pula dikendalikan berek cakera tunggal 265 mm dengan kaliper 2 Piston (depan) dan cakera tunggal bersaiz 220 mm (belakang) dengan rim menggunakan jenis jejari bersaiz 19 inci (depan) dan 17 inci (belakang).
Info lain adalah seperti:
Port pengecas USB Type-A
Tangki bahan api 11.7 liter
Berat 154 kg















