MOTO Guzzi V7 Stone Special Edition (2023) Diperkenalkan, Harga Mula RM 66.9k!

8/2/20231 min read

MOTO Guzzi Malaysia, sempena acara AoS 2023, baru-baru ini turut tak melepaskan peluang untuk memperkenalkan penawaran terbaharunya di pasaran tempatan iaitu Moto Guzzi V7 Stone Special Edition (2023).

Kepada yang tak tahu, Moto Guzzi V7 Stone adalah motosikal bergaya klasik 'Roadster' jenama Itali itu.

Selain Moto Guzzi V7 Stone Special Edition (2023), turut ditawarkan adalah varian Standard dengan penawaran harga kedua-dua varian adalah seperti berikut:

  • Moto Guzzi V7 Stone (2023): RM 62,900

  • Moto Guzzi V7 Stone Special Edition (2023): RM 66,900

Seperti kebiasaan, harga yang diumumkan adalah asas, tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran.

Tampil dengan rekaan minimalis, Moto Guzzi V7 Stone/Special Edition (2023) dipadankan dengan enjin bersesaran 850 cc, 2 Silinder V-Twin, 4 Lejang, Suntikan Bahan Api yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Kuasa yang dihasilkan adalah 65 Hp pada 6800 rpm dan tork 73 Nm pada 5000 rpm. Yang menariknya, lebih 80 peratus daripada tork itu boleh dicapai pada 3,000 rpm.

Untuk Moto Guzzi V7 Stone Special Edition (2023), pilihan warna yang ditawarkan adalah tunggal iaitu Shining Black.

Dan pilihan warna untuk Moto Guzzi V7 Stone (2023) adalah empat iaitu:

Nero Ruvido (Hitam), Arancione Rame (Jingga), Giallo Metallico (Kuning) dan Grigio Alluminio (Perak).

Sebagai model edisi istimewa, pemilihan skema warna dan corak grafik Moto Guzzi V7 Stone Special Edition (2023) jelas lebih eksklusif.

Antara keistimewaan Moto Guzzi V7 Stone Special Edition (2023) termasuklah cermin sisi yang diposisi di hujung bar hendal, penutup petrol istimewa aluminium yang dihitamkan dan ekzos Arrow.