MOTO Morini Calibro 700 (2024) Kruiser Gaya 'Bagger' Lancar Di Malaysia, RM 35.9k!

PELANCARAN

11/15/20241 min read

MOTO Morini Malaysia menerusi MForce Bike Holdings (MForce Bike) meningkatkan jumlah penawaran dalam katalognya di Malaysia dengan melancarkan model 'Kruiser' menarik, Moto Morini Calibro 700 (2024).

Seperti yang dapat dilihat, Moto Morini Calibro 700 (2024) bukan 'kruiser' 'biasa-biasa', tetapi bergaya 'Bagger' yang sinonim dengan jenama terkemuka dari negara Uncle Sam.

Tetapi, hanya satu pilihan warna ditawarkan iaitu Quartz Black.

Dan harga yang diumumkan cukup menarik iaitu RM 35,888 (asas), tak termasuk insurans, cukai jalan dan pendaftaran.

Seperti dinyatakan, antara paling menonjol untuk Moto Morini Calibro 700 (2024) pastinya penggunaan fairing 'Batwing' besar yang menyerlahkan rekaan motosikal ini secara keseluruhan.

Dengan rekaan yang mendapat sentuhan daripada 'Italian Style Center', ia dikatakan cukup sedap mata memandang dan tidak keterlaluan.

Meningkatkan lagi gaya klasik atau 'bagger' itu sendiri adalah menerusi penggunaan 'box pannier' kiri dan kanan berkapasiti 20 liter.

Di bahagian trenkuasa, Moto Morini Calibro 700 (2024) dipadankan dengan enjin bersesaran 693 cc, 2 Silinder Parrallel Twin, 8 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Lengkap klac Slipper, kuasa yang dihamburkan adalah sebesar 73.8 Hp pada 8,500 rpm dan tork 68 Nm pada 6,500 rpm.

Apa yang menarik, ia tidak dipacu rantai namun menggunakan tali sawat dan dipadankan dengan lampu depan bentuk bulat projektor LED.

Sistem suspensi menggunakan fork teleskopik 41 mm (depan) dengan penyerap hentak berkembar di bahagian belakang.

Sistem henti pula menggunakan brek cakera tunggal 320 mm dengan kaliper J.Juan dwi-piston (depan) dan cakera tunggal 255 mm dengan kaliper piston tunggal (belakang) dengan dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dwi-saluran.

Informasi lain adalah seperti berikut:

  • Panel meter gabungan analog dan digital.

  • Set roda 130/70-18 (depan), 180/65-15

  • Dimensi - panjang 2,220 mm, lebar 860 mm, tinggi 1,260 mm

  • Lega bumi 140 mm.

  • Tinggi pelana 705mm.

  • Tangki bahan api 15 liter.

  • Berat 228 kg

Seperti biasa, setiap pembelian memperoleh jaminan selama dua tahun tanpa had jarak perbatuan.