MOTO Morini Malaysia Lancar Alltrhike 450, RM 28,888!

MOTO Morini serang segmen 'Adventure touring' aras tengah menerusi pelancaran model Moto Morini Alltrhike 450 yang bukan saja tampil dengan rekaan menarik dan unik, namun harga mengujakan

PELANCARAN

11/23/20251 min read

PERSAINGAN dalam segmen 'Adventure touring' 450 cc di Malaysia kembali meriah apabila Moto Morini Malaysia melancarkan jagoan terbaharunya, Moto Morini Alltrhike 450.

Uniknya, pelancaran berlangsung di Taizhou, China yang turut disertai deligasi media dan pengedar MForce Bike Holdings.

Menurut MForce, Alltrhike 450 akan mula didapati di pusat jualan rasmi MForce dengan harga jualan yang boleh dianggap menarik RM 28,888.

Seperti biasa, angka yang diumumkan adalah asas, tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran.

Tetapi apa yang istimewanya, harga berkenaan turut termasuk tiga box simpanan belakang.

Kepada yang mungkin tidak tahu, segmen yang disertai oleh Moto Morini Alltrhike 450 iaitu 'Adventure touring' dalam kelas sub 500 cc boleh dikatakan 'meriah' dengan beberapa jenama termasuk daripada Eropah dan Jepun mempunyai jagoan tersendiri.

Dari sudut rekaan, apa yang boleh dikatakan adalah Moto Morini Alltrhike 450 jelas tidak kalah.

Tiba dengan nama Moto Morini, ia dikatakan mendapat 'sentuhan' daripada pereka Itali berikutan kerjasama serta asal jenama itu sendiri.

Trenkuasa dipacu enjin bersesaran 449 cc, 2 Silinder Parallel Twin, 8 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Kuasa dihamburkan pada angka 44.8 Hp @ 8,500 rpm dan tork 42 Nm @ 6,500 rpm.

Sebagai model 'Adventure touring', penampilan Moto Morini Alltrhike 450 digarangkan menerusi penggunaan rim jenis jejari 21 inci (depan) dan rim 18 inci (belakang) dengan tayar dengan corak bata.

Sistem suspensi tampil dengan jarak gerak yang tinggi menerusi fork USD dari jenama KYB 42 mm dengan jarak gerak 200 mm.

Lebih menarik, fungsi Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) boleh dinyahaktif jika penunggang mahu melayan off-road.

Ciri-ciri lain adalah seperti:

  • Visor angin boleh laras

  • Panel meter TFT dengan sistem navigasi

  • Pengecas USB Type-A dan Type-C

  • Tongkat tengah

  • Tinggi pelana 847 mm

  • Berat 170 kg