MOTO Morini Sedang Bangunkan Model Baharu, Petanda Baik Penawaran Di Malaysia Bakal Bertambah?

TULAR

8/12/20231 min read

MOTO Morini, jenama motosikal Itali yang sudah bertapak dan memiliki penawaran di Malaysia ketika ini dilaporkan sedang membangunkan bukan satu, tapi sejumlah 12 model terbaharu jenama itu.

Menurut laporan Moto.it, syarikat pengeluar motosikal Itali namun milik China itu merancang untuk melancarkan kesemua motosikal itu dalam jangka masa cukup singkat iaitu menjelang tahun 2025.

Dan untuk mencapai sasaran itu, Ketua Pegawai Ekskutif Moto Morini, Alberto Monni menjelaskan pihaknya sedang membangunkan beberapa enjin baharu namun menariknya, fokus kepada berkonfigurasi V-twin.

Tindakan itu nampak seperti 'menongkah arus' tatkala beberapa pengeluar utama lain yang lebih mengutamakan enjin konfigurasi 'Parallel-Twin' yang dikatakan lebih kompak dan murah untuk dihasilkan.

Seperti diketahui, Moto Morini sudah pun menyenaraikan Moto Morini X-Cape 1200 untuk ditayangkan di EICMA 2023.

Tetapi sebelum itu, terdedah beberapa maklumat penting termasuk pembentangan 'slide' yang menunjukkan imej beberapa model yang sedang dirancang oleh syarikat itu.

Berdasarkan laporan, selain enjin bersesaran 1,200 cc, syarikat itu juga sedang membangunkan enjin bersesaran lebih kecil iaitu 750 cc dan 925 cc V-Twin yang dijangka dipadankan dengan beberapa model dalam pelbagai segmen.

Dan enjin-enjin itu akan dipadankan dengan beberapa model motosikal termasuklah dalam segmen 'Moden klasik', Kruiser, 'Bobber/ Dragster' 'Adventure-enduro', 'Adventure-tourer' 'Naked' dan mungkin paling menarik, 'Sportbike'.

Untuk enjin bersesaran 750 cc, ia dijangka akan menghamburkan kuasa sekitar 75 hingga 80 Hp berdasarkan segmen motosikal manakala 925 cc (lebih 100 Hp) dan 1,200 cc dijangka mencapai angka lebih 120 Hp.

Di pasaran tempatan, Moto Morini tiba di Malaysia pada tahun lalu menerusi MForce Bike dengan mempertaruhkan Moto Morini X-Cape 650 dan katanya sambutan yang diterima cukup baik. Jadi atas itu, perkembangan di Itali ini memang menarik.