MOTO Morini Seiemmezzo STR Tayang Di KLBS 2023, Pelancaran Dah Dekat?
TERKINI
8/27/20231 min read


TURUT hadir sebagai pempamer di Kuala Lumpur Bike Show (KLBS) 2023 yang menutup tirainya, hari ini adalah syarikat pengeluar motosikal Itali, Moto Morini dan apa yang menarik, model yang dicanang bakal memasuki pasaran tempatan, Moto Morini Seiemmezzo SCR ada ditayangkan.
Tampil dengan rekaan lasak 'Scrambler', Moto Morini Seiemmezzo SCR yang memiliki 'paruh' panjang dan visor angin pendek menjadi antara model yang menjadi tumpuan di acara berkenaan.
Sebagai info, selain SCR, Moto Morini Seiemmezzo turut datang dengan barian STR yang lebih 'rugged' namun menggunakan platform yang sama.
Dan untuk pasaran Malaysia, Moto Morini tiba menerusi MForce Bike Holding (MForce) dengan penawaran sulung dan tunggal mereka setakat ini adalah Moto Morini X-Cape 650/X yang dilancarkan tahun lalu.
Justeru, kehadiran Moto Morini Seiemmezzo SCR mencetus keterujaan dan teka teki.
Sekalipun memiliki 'perwatakan' berbeza berbanding X-Cape 650, barisan model Seiemmezzo turut berkongsi trenkuasa yang sama.
Ia adalah enjin bersesaran 649 cc, 2 Silinder, 8 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.
Kuasa yang dihamburkan adalah 60 Hp pada 7,000 rpm dan tork 54 Nm pada 7,000 rpm.
Untuk Seiemmezzo SCR, ia tampil dengan fork jenis terbalik (USD) Kayaba berwarna keemasan dan penyerap hentak tunggal juga dari Kayaba di belakang dan digandingkan dengan rim jenis jejari 17 inci (depan) dan 16 inci (belakang).
Sistem henti dipadankan dengan brek cakera kembar 298 mm (depan) dan cakera tunggal (belakang) lengkap demngan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) Bosch ABS 9.1MB.
Info lain termasuklah penggunaan sistem lampu LED penuh termasuk DRL, panel meter TFT digital dengan ciri sambungan ke telefon pintar dan pelbagai lagi.
Tetapi jangan terlalu teruja, mengikut sumber 'sahih' yang diperoleh daripada MForce oleh kami, syarikat itu berdepan sedikit kesulitan untuk membawa model berkenaan ke pasaran tempatan.
Justeru, ada kemungkinan besar ia tidak akan dilancarkan pada tahun ini tetapi apa saja kemungkinan boleh berlaku.












