MOTO Morini X-Cape 1200 (2025) Curi Tumpuan Di CIMA 2025, Bakal Masuk Malaysia?

Sebagai model yang dihasilkan daripada jenama Itali, Moto Morini X-Cape 1200 (2025) memiliki rekaan yang boleh dianggap menarik dan cukup agresif ala jentera rali Dakar

TERKINI

9/23/20252 min read

JENAMA motosikal Itali tetapi milik China, Moto Morini mencuri perhatian di Pameran Motosikal Antarabangsa China (CIMA) 2025 dengan melancarkan model ‘adventure touring’ aras tingginya, Moto Morini X-Cape 1200 (2025).

Tampil sebagai model daripada jenama Itali, Moto Morini X-Cape 1200 (2025) menariknya memiliki rekaan yang boleh dianggap menarik dan cukup agresif ala jentera rali Dakar.

Sebagai model yang dicipta untuk tunggangan jarak jauh, trenkuasa Moto Morini X-Cape 1200 (2025) dipacu enjin Corsa Corta EVO berkapasiti 1,187 cc, V-twin, Penyejuk Cecair, Suntikan bahan api, dipadankan dengan transmisi enam kelajuan klac manual.

Kuasa maksimum yang dihamburkan ialah 129 Hp pada 8,750 rpm, manakala tork puncak mencecah 106 Nm pada 7,000rpm.

Menurut jenama itu, Moto Morini X-Cape 1200 (2025) mampu mencapai kelajuan melebihi 225 km/j sekali gus menjadikannya pilihan ideal untuk pelancongan berkelajuan tinggi di lebuh raya.

Dari sudut teknologi, Moto Morini X-Cape 1200 (2025) turut dilengkapi pelbagai ciri berteknologi tinggi termasuk paparan TFT 7 inci berasaskan sistem Linux dwi-teras, sokongan navigasi, Bluetooth, pencerminan telefon dan sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).

Antara ciri lain yang ditawarkan:

  • Kawalan pelayaran (cruise control)

  • Empat mod tunggangan

  • Lampu LED penuh

  • Rak bagasi aluminium

  • Quickshifter dan klac ‘slip-and-assist’

Menggunakan kerangka trellis tubular, ia dikatakan menjamin kestabilan dan kawalan optimum. Sistem suspensi menggunakan fork terbalik (depan) boleh laras sepenuhnya dengan perjalanan 180 mm, manakala penyerap hentak belakang dilengkapi pautan progresif dengan jarak perjalanan sama.

Aspek keselamatan pula, Moto Morini X-Cape 1200 (2025) dipadankan dengan sistem brek Brembo berprestasi tinggi menerusi berkembar 320 mm dengan angkup empat omboh monoblok dan cakera tunggal 280 mm dengan angkup dua omboh (belakang).

Ia kemudian dilengkapkan dengan sistem Bosch Cornering ABS dan kawalan cengkaman berasaskan IMU membantu mengekalkan kestabilan ketika mengambil selekoh.

Radar titik buta dan kawalan cengkaman sensitif kecondongan turut disertakan, menjadikan X-Cape 1200 antara motosikal paling pintar dalam segmennya.

Dari sudut ergonomik, Moto Morini X-Cape 1200 (2025) memiliki ketinggian pelana 33.8 inci dengan berat sekitar 250 kg.

Setakat ini, Moto Morini X-Cape 1200 (2025) ditawarkan dalam tiga pilihan warna menarik iaitu Arctic White, Energy Red dan Black Viper.

Bakal Tembusi Pasaran Malaysia?

Belum diumumkan secara rasmi, tetapi maklumat daripada sumber industri memaklumkan ada pengedar Moto Morini di Malaysia sudah mula mengeluarkan ‘teaser’ berkenaan model ini, sekali gus memberi bayangan MForce Bike memiliki perancangan untuk membawa masuk Moto Morini X-Cape 1200 (2025) ke pasaran tempatan.