MOTO3: Hambar tapi GP Catalunya Beri Pengajaran Berharga Buat Damok

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/4/20231 min read

MASA dan peluang nampaknya makin suntuk serta sukar buat Syarifuddin Azman selepas pelumba tunggal negara di Kejuaraan Motosikal Dunia dalam kelas Moto3 itu terus menamatkan perlumbaan di luar kelompok pungutan mata.

Berakhir perlumbaan di Litar Catalunya itu semalam, pelumba yang diberi julukan Damok itu dan menyasarkan gelaran 'rookie' terbaik Moto3 musim 2023 itu melepasi garisan penamat di kedudukan ke-26.

Dan ia adalah kali ke-9 pelumba pasukan MT Helmets - Msi itu gagal meraih sebarang pungutan mata selepas kali terakhir pada GP Argentina, April lalu.

Mengakui ia bukan keputusan yang diharapkan, Damok berkata dia perlu kekal positif dan mengambil pengalaman di Catalunya sebagai pengalaman berharga buatnya.

"Saya perlu terus berkerja bersama dengan pasukan, dan lebih bekerja keras. Banyak lagi perkara yang saya perlu belajar," kata Damok.

Damok bersama pasukannya dijadual menjalani ujian di litar sama, hari ini.

"Saya harap dengan sesi ujian ini saya dapat mencari pelarasan yang lebih baik untuk jentera saya," katanya.

Sementara itu, harapan dan peluang Damok untuk merangkul gelaran 'Rookie' terbaik makin sukar selepas seorang lagi pelumba yang bersaing untuk gelaran itu, David Alonso memenangi perlumbaan di Catalunya.

Selepas 11 pusingan perlumbaan, Damok ketika ini hanya mengutip 5 mata kejuaraan, jauh ditinggalkan Alonso yang mengumpul 115 mata dan menghuni tangga ke-6 keseluruhan.

Selepas Barcelona, perlumbaan pusingan seterusnya dijadualkan pada hujung minggu ini di GP San Marino di Misano.