MOTO3: 'Kosong' Di Austria, Damok Tak Putus Asa, Cubaan Diteruskan Di Catalunya!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/21/20231 min read

SATU lagi minggu mengecewakan diperoleh pelumba Moto3 negara di Kejuaraan Motosikal Dunia, Syarifuddin Azman selepas pelumba dengan julukan Damok itu terus kempunan, semalam di Austria.

Sekalipun tiba Red Bull Ring dengan semangat berkobar-kobar - berdasarkan sesi media sebelum ini - Damok sekali lagi pulang tanpa pungutan mata selepas melepasi garisan penamat di tangga ke-28.

Memulakan perlumbaan di petak ke-20, pelumba pasukan MT Helmets - Msi itu ditimpa malang apabila terjatuh di awal saingan namun bangkit untuk melengkapkan perlumbaan.

"Saya agak kecewa dengan keputusan saya. Saya terjatuh di selekoh 2, tiada kecederaan serius. Saya bangun dan teruskan perlumbaan sehingga ke garisan penamat," kata Damok.

"Tapi saya gembira dengan apa yang dilakukan pasukan dengan jentera saya pada minggu ini. Saya tidak sabar untuk perlumbaan saya di Catalunya. Saya harap saya dapat berada di kedudukan kelompok 15 teratas dan raih mata."

Sebagai info, kali terakhir pelumba kelahiran Kuala Lumpur itu meraih mata di Moto3 musim ini adalah pada perlumbaan Pusingan 2 di Argentina pada April lalu.

Dalam perlumbaan di Austria, pelumba Turki, Deniz Oncu dari pasukan Red Bull KTM Ajo muncul sebagai pemenang. Mengikutinya di podium adalah Daniel Holgado dan Ayumu Sasaki.

Ketika ini, Damok menghuni tangga ke-24 keseluruhan carta pelumba selepas sekadar mengumpul 5 mata kejuaraan. Holgado dari Sepanyol mengisi kedudukan pendahulu dengan mengumpul 161 mata.