MotoGP 2023: Francesco Bagnaia, Ducati 'Tak Tercabar' Di Red Bull Ring

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/20/20232 min read

SEPERTI berada dalam kelas berbeza. Itu persembahan yang ditunjukkan jaguh MotoGP Ducati, Francesco Bagnaia ketika melengkapkan kemenangan berganda di Grand Prix (GP) Austria, malam tadi.

Selepas menjuarai Perlumbaan Sprint pada Sabtu, pelumba kelahiran Itali itu sekali lagi tampil dengan persembahan menakjubkan pada perlumbaan utama dengan mendahului persaingan dari awal hingga garisan penamat.

Bermula di petak utama, Bagnaia atau julukannya 'Pecco' melepasi garisan penamat berseorangan meninggalkan pelumba 'tuan rumah', Brad Binder dari Red Bull KTM 5.191 saat di belakang.

Rakan senegara dan seperguruannya, yang juga pencabar utama kejuaraan musim ini, Marco Bezzecchi dari pasukan Mooney VR46 melengkapkan kedudukan podium.

Tidak banyak 'drama' yang berlaku pada perlumbaan utama berbanding 'Sprint' semalam dengan pelumba yang mencetuskan masalah, Jorge Martin dari Pramac Ducati dikenakan penalti 'Long Lap'. Ia sekaligus merencatkan peluangnya untuk berada di depan.

Berada di posisi podium untuk jangka masa yang agak lama, pelumba Gresini Ducati, Alex Marquez akhirnya dipintas Bezzecchi sebelum bertambah malang apabila turut dipintas seorang lagi pelumba Mooney VR46, Luca Marini.

Keputusan itu menyaksikan adik kepada jaguh Honda, Marc Marquez itu terpaksa berpuas hati di kedudukan kelima diikuti pelumba Aprilia yang bergelut dengan prestasi, Maverick Vinales.

Pelumba jentera bukan dari Jepun yang mencatat kedudukan terbaik adalah juara dunia 2021, Fabio Quartararo di tangga kelapan.

Seorang lagi pelumba 'tuan rumah', Jack Miller dalam pada itu menamatkan perlumbaan di tangga ke-15.

Turut boleh dilabel beraksi di GP sendiri adalah RNF Aprilia tetapi malang buat pasukan yang dikemudi rakyat Malaysia, Datuk Razlan Razali itu apabila kedua-dua pelumbanya menamatkan kempen dengan status 'DNF'.

Pasukan RNF Aprilia boleh dikatakan beraksi di 'laman sendiri' kerana penaja utamanya, CryptoData juga adalah penaja 'title' untuk GP Austria. Dan pasukan itu turut menggunakan liveri istimewa bertemakan 'Barbie' pada perlumbaan berkenaan.

Keputusan di Austria turut menyaksikan Pecco terus menjarakkan kedudukan selaku pendahulu dengan mengumpul 251 mata diikuti Martin (189 mata) dan Bezzecchi ketiga (183 mata).

Perlumbaan seterusnya yang juga perlumbaan pusingan ke-11 MotoGP dijadual berlangsung di Barcelona, Sepanyol pada 3 September depan.

Keputusan GP Austria 2023

1. Francesco Bagnaia (ITA) Ducati Lenovo (GP23), 42 minit 23.315 saat (s)

2. Brad Binder (RSA) Red Bull KTM (RC16), +5.191s

3. Marco Bezzecchi (ITA) Mooney VR46 Ducati (GP22), +7.708s

4. Luca Marini (ITA) Mooney VR46 Ducati (GP22), +10.343s

5. Alex Marquez (SPA) Gresini Ducati (GP22), +11.039s

6. Maverick Viñales (SPA) Aprilia Racing (RS-GP23), +11.724s

7. Jorge Martin (SPA) Pramac Ducati (GP23), +12.917s

8. Fabio Quartararo (FRA) Monster Yamaha (YZR-M1), +19.509s

9. Aleix Espargaro (SPA) Aprilia Racing (RS-GP23), +20.231s

10. Enea Bastianini (ITA) Ducati Lenovo (GP23), +20.729s

11. Franco Morbidelli (ITA) Monster Yamaha (YZR-M1), +21.527s

12. Marc Marquez (SPA) Repsol Honda (RC213V), +23.027s

13. Johann Zarco (FRA) Pramac Ducati (GP23), +24.259s

14. Augusto Fernandez (SPA) Tech3 GASGAS (RC16)*, +25.365s

15. Jack Miller (AUS) Red Bull KTM (RC16), +25.475s

16. Pol Espargaro (SPA) Tech3 GASGAS (RC16), +28.073s

17. Fabio Di Giannantonio (ITA) Gresini Ducati (GP22), +28.998s

18. Takaaki Nakagami (JPN) LCR Honda (RC213V), +32.316s

19. Lorenzo Savadori (ITA) Aprilia Factory (RS-GP23), +42.392s

20. Iker Lecuona (SPA) LCR Honda (RC213V), +46.239s

Raul Fernandez (SPA) RNF Aprilia (RS-GP22), DNF

Joan Mir (SPA) Repsol Honda (RC213V), DNF

Miguel Oliveira (POR) RNF Aprilia (RS-GP22), DNF