MotoGP 2024 'Finale' Di Barcelona, Apa Kata Pecco, Martin?

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/6/20241 min read

JORGE Martin dan Francesco Bagnaia akan bertarung di Litar Catalunya, Barcelona, Sepanyol bagi penentuan kejuaraan dunia MotoGP musim ini - litar yang boleh dianggap sebagai 'neutral' buat kedua-dua pelumba.

Pada GP Catalan 2024 Mei lalu, Bagnaia menjuarai perlumbaan utama tetapi terjatuh pada Perlumbaan Sprint ketika sedang mendahului - situasi agak sama dengan di Sepang tahun ini.

Dan untuk Martin, pelumba Pramac Ducati itu tidak pernah menang di Catalunya dalam kelas utama tetapi konsisten berada di podium pada tiga penampilan terakhir termasuk bergelar naib juara.

Jadi apa kata mereka mengenai keputusan Dorna menganjurkan aksi terakhir di Barcelona?

JORGE MARTIN

"Barcelona adalah litar yang baik untuk kami berdua. Pecco menang pada perlumbaan utama, saya kedua, ia cukup dekat, sudah tentu saya sedikit ketinggalan tetapi kami tahu kenapa.

"Bagi saya ia adalah sama. Saya fikir persembahan saya agak sama di Barcelona dan Valencia.

"Di Montmelo (Barcelona) saya berada di podium pada 2022 dan 2023, jadi saya fikir saya kompetitif.

"Seperti Pecco cakap, ada beberapa selekoh yang sulit, juga kita kini berada pada November. Kita akan lihat pelbagai situasi, mungkin ia boleh hujan, berangin, boleh bersalji, saya tidak tahu.

"Saya berharap Michelin boleh mencari jalan penyelesaian yang menarik, seperti Australia, tetapi kita lihat apa yang akan berlaku."

FRANCESCO BAGNAIA

"Secara matematik ia masih tidak mustahil. Kami tahu yang ia akan menjadi amat sukar, tetapi di Barcelona segala-galanya boleh berlaku. Saya kemalangan ketika Perlumbaan Sprint ketika saya memimpin perlumbaan dengan kelebihan satu saat. Saya akan cuba untuk mengelak sebarang kesilapan dan berdepan situasi sama.

"Jadi ia pasti lebih rumit, keadaan akan lebih sukar berbanding pada Jun lalu kerana ia akan lebih sejuk.

"Dua selekoh di Barcelona agak sukar, selekoh dua dan lima, jadi ia penting untuk kekal menjadi kompetitif dan juga tenang.

"Kami akan mengadaptasi dengan segala-galanya. Jadi bagi saya, ia tidak akan berubah (persiapan). Dari sudut prestasi, saya beraksi lebih baik di Barcelona (berbanding Valencia).

"Tetapi litar ini lebih rumit, di mana kesilapan cukup senang berlaku, jadi kamu perlu lebih tepat. Tetapi saya tiada keutamaan."