MotoGP 2024: Jorge Martin Laung Amaran Awal Di Qatar

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/9/20242 min read

JORGE Martin membuktikan kelibatnya di MotoGP musim ini adalah untuk bergelar juara dunia apabila melepasi garisan penamat Perlumbaan Sprint Grand Prix (GP) Qatar sebagai juara.

Pelumba pasukan satelit Ducati namun menggunakan jentera spesifikasi terkini GP24 itu menang dengan catatan 20 minit 41.287 saat, lebih setengah saat berbanding pencabar terdekarnya, Brad Binder.

Binder dari pasukan Red Bull KTM mencipta nama sebagai naib juara dan melengkapi podium di Losail adalah pelumba Aprilia, Aleix Espargaro.

"Saya amat gembira," kata Martin. "Sudah tentu banyak yang kami perlu lakukan esok (awal pagi Isnin) kerana kami berdepan beberapa isu ketika perlumbaan yang memerlukan pembaikan kerana ia perlumbaan yang lebih panjang."

Martin begitupun tidak memberikan perincian mengenai masalah yang dihadapinya namun jika ia diperbaiki, dia akan mampu menjadi lebih laju.

Kemenangan menyaksikan Martin bergelar pendahulu kejuaraan dunia MotoGP buat kali kedua dalam kariernya (selepas GP Indonesia 2023) dan dia mahu mengekalkan status itu lebih lama.

"Saya berharap dapat mengekalkannya lebih daripada 24 jam. Ia bukan keutamaan saya ketika ini. Saya hanya mahu menjadi kompetitif dan meraih podium esok."

Penyandang juara dunia musim lalu, Francesco Bagnaia menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat diikuti pelumba tumpuan, Marc Marquez (Gresini Ducati) yang melepasi garisan penamat di tangga kelima.

Seorang lagi pelumba pasukan 'Factory' Ducati, Enea Bastianini menamatkan perlumbaan di tempat keenam diikuti rakan sepasukan Marquez, Alex Marquez.

Pelumbaan 'Rookie' MotoGP, Pedro Acosta mengisi tangga kelapan dengan 9. Maverick Vinales (Aprilia Racing) dan Jack Miller (Red Bull KTM) melengkapkan posisi 10 terbaik.

Tiada catatan menakjubkan berjaya dilakar pengeluar Jepun dengan pelumba terbaik Yamaha adalah Fabio Quartararo yang menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-12.

Pelumba terbaik Honda pula adalah Joan Mir yang sekadar meraih kedudukan ke-15.

Keputusan Perlumbaan Sprint GP Qatar 2024

1. Jorge Martin (SPA) Pramac Ducati (GP24), 20m 41.287s

2. Brad Binder (RSA) Red Bull KTM (RC16), +0.548s

3. Aleix Espargaro (SPA) Aprilia Racing (RS-GP24), +0.729s

4. Francesco Bagnaia (ITA) Ducati Lenovo (GP24), +1.625s

5. Marc Marquez (SPA) Gresini Ducati (GP23), +1.872s

6. Enea Bastianini (ITA) Ducati Lenovo (GP24), +2.322s

7. Alex Marquez (SPA) Gresini Ducati (GP23), +3.154s

8. Pedro Acosta (SPA) Red Bull GASGAS Tech3 (RC16)*, +4.431s

9. Maverick Viñales (SPA) Aprilia Racing (RS-GP24), +6.738s

10. Jack Miller (AUS) Red Bull KTM (RC16), +12.670s

11. Marco Bezzecchi (ITA) VR46 Ducati (GP23), +12.835s

12. Fabio Quartararo (FRA) Monster Yamaha (YZR-M1) +12.863s

13. Miguel Oliveira (POR) Trackhouse Aprilia (RS-GP24), +13.095s

14. Raul Fernandez (SPA) Trackhouse Aprilia (RS-GP23), +13.795s

15. Joan Mir (SPA) Repsol Honda (RC213V), +14.096s

16. Johann Zarco (FRA) LCR Honda (RC213V), +14.840s

17. Alex Rins (SPA) Monster Yamaha (YZR-M1), +15.629s

18. Augusto Fernandez (SPA) Red Bull GASGAS Tech3 (RC16), +17.711s

19. Takaaki Nakagami (JPN) LCR Honda (RC213V), +22.733s

20. Franco Morbidelli (ITA) Pramac Ducati (GP24), +23.267s

21. Luca Marini (ITA) Repsol Honda (RC213V), +25.553s

Fabio Di Giannantonio (ITA) VR46 Ducati (GP23), DNF