MotoGP Bakal Alami Perubahan Besar-Besaran Di Bawah Liberty Media?

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/2/20241 min read

KETUA Pegawai Eksekutif Liberty Media, Greg Maffei menjelaskan pihaknya tidak merancang untuk melakukan perubahan terhadap perlumbaan MotoGP, situasi yang berlaku kepada satu lagi perlumbaan milik syarikat itu F1.

Liberty Media semalam mengesahkan pembelian berstatus mega, € 4.2 bilion (RM 21.3 bilion) bagi mendapatkan pegangan ekuiti syarikat pengelola perlumbaan MotoGP, Dorna.

Begitupun berdasarkan perjanjian, Dorna yang berpangkalan di Madrid, Sepanyol itu akan meneruskan tugas mereka menguruskan perlumbaan MotoGP.

"(MotoGP) adalah produk yang menakjubkan, kami tidak merancang untuk mengubah sukan ini," kata Maffei memetik laporan Crash.net.

"Matlamatnya adalah untuk membukanya kepada lebih ramai orang. Membukanya kepada rakan kongsi komersial dengan lebih meluas."

Mengulas lanjut, Maffei memberikan perlumbaan Formula 1 (F1) - perlumbaan yang menjadi milik syarikat itu pada 2016 sebagai contoh.

"Apa yang kami dapat lihat daripada F1 adalah apabila kamu meningkatkan pangkalan peminat kamu, tugas untuk menjana kewangan menjadi lebih mudah. Ini kerana rakan kongsi kamu, tidak kira mereka rakan kongsi penyiaran, rakan kongsi promosi atau penaja, mereka melihat kepada jenama.

"Apabila keterujaan meningkat, apabila permintaan bertambah, penonton bertambah, segala-galanya akan berjalan seiringan.

“Itulah yang kami rasa dalam Formula 1, semuanya bersatu. Dan saya gemar untuk percaya itulah potensi di sini (MotoGP)," katanya.

Menerusi perjanjian hak milik berkenaan, Liberty Media yang berpangkalan di Amerika Syarikat memperoleh kira-kira 86 peratus kepentingan Dorna.

Begitupun, pengambilalihan itu dijangka hanya akan lengkap pada penghujung 2024 dan bergantung kepada pelepasan dan kelulusan pihak berkuasa persaingan dan undang-undang pelaburan asing dalam pelbagai bidang kuasa.