KEJUARAAN Motosikal Dunia (MotoGP) akan memperkenalkan sistem komunikasi radio di antara pengarah perlumbaan dan pelumba - ciri yang sama seperti Formula 1 (F1) - bermula pada musim 2025, lapor Motorsport.com.
Menurut laporan itu, satu mesyuarat diadakan oleh promoter perlumbaan itu di Misano, minggu lalu dengan Dorna memaklumkan kepada kesemua pasukan bertanding mengenai keputusan itu bagi kelas elit MotoGP.
Sistem berkenaan akan diperkenalkan dalam beberapa fasa dan pada awalnya hanya pengarah perlumbaan dibenarkan untuk berkomunikasi dengan para pelumba, dengan mesej yang diberikan singkat dan padat.
Ia dikatakan untuk memperbaiki keselamatan.
Untuk fasa kedua, yang akan bermula pada awal musim 2026, sistem komunikasi radio akan berfungsi secara dua hala yang membenarkan pelumba untuk bercakap dengan pengarah perlumbaan.
Dan untuk fasa terakhir, yang masih belum ditentukan tarikh perlaksanaanya, akan menyaksikan penggunaanya sama seperti F1 yang membenarkan komunikasi antara pelumba dengan pasukan di pit.
Menurut Dorna, perlaksanaan peraturan baharu itu turut menambahbaik atau meningkatkan 'persembahan' perlumbaan itu di kaca televisyen.
Seperti promoter perlumbaan lain, Dorna dan pasukan televisyennya sudah menggunakan sistem berkenaan sejak bertahun-tahun.
Dorna sebelum ini pernah menguji sistem berkenaan pada 2022 dengan beberapa pelumba diberikan fon telinga untuk menerima mesej daripada pengarah perlumbaan di Jerez. Ujian sama turut dilakukan di Valencia tahun lalu.
Selepas beberapa siri ujian dan penambahbaikkan, Dorna ketika ini dikatakan berjaya menghasilkan unit yang tidak diposisikan di bahagian telinga pelumba, namun di luar dengan bunyi dihantar melalui getaran dan membuatkan sistem itu kurang mengganggu pelumba.
Begitupun, sistem berkenaan mendapat pelbagai maklum balas daripada pelumba dengan ada yang menyukai dan ada yang berpendapat sebaliknya.